Rabu, 30 April 2014

Cabaran Juara-Juara: Cuaca panas beri kelebihan

30 April 2014 
PENGENDALI skuad hoki negara Muhammad Dharma Raj Abdullah tidak menolak bahawa cuaca panas memberi sedikit kelebihan kepada anak buahnya dalam menghadapi New Zealand pada saingan suku akhir kejohahan Cabaran Juara-Juara 1 esok.

Menurutnya, pemain New Zealand selalunya tidak biasa bermain dalam cuaca panas.

"Namun kelebihanan beraksi dalam cuaca panas tidak meletakkan pasukan negara dalam keadaan selesa kerana New Zealand merupakan sebuah pasukan yang kuat dan dibarisi pemain bertaraf antarabangsa," katanya.

Beliau berkata pemain Malaysia juga tidak gemar beraksi dalam cuaca panas, namun mereka perlu mengambil kesempatan dari keadaan cuaca sebegitu.

"Pada masa yang sama, saya hormati kenyataan jurulatih New Zealand, Batch Conlin bahawa mereka lebih selesa beraksi dalam cuaca panas. Namun bagi saya mereka hanya cuba bermain psikologi dengan Malaysia dengan harapan dapat mematahkan semangat pemain kita," katanya.

Berdasarkan rekod perlawanan dari format yang sama sebelum ini, New Zealand pernah kalah kepada Jerman dan England.

"Walaupun Malaysia tidak sehebat Jerman atau England, kita masih mempunyai peluang untuk mengalahkan New Zealand jika nasib menyebelahi pasukan hoki negara," kata Muhammad Dharma.

Beliau berkata perancangan dari segi strategi amat penting pada pusingan kalah mati dalam menentukan nasib pasukan hoki negara sama ada mampu layak ke final atau tidak.

Sementara itu kapten pasukan Azlan Misron memberi peringatan kepada rakan-rakannya agar sentiasa fokus ketika menentang New Zealand.

"Saya juga suka ingatkan rakan-rakan dan diri sendiri agar mengikut perancangan yang telah ditetapkan jurulatih dan komited dalam menjalankan tugas di posisi masing-masing kerana peluang kita untuk menang esok adalah 50-50," katanya.


Kejayaan terbaik Malaysia di kejohanan dwitahunan ini ialah menduduki tempat keempat pada edisi di Quilmes, Argentina pada 2012. – Bernama SINAR HARIAN 1.5.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan