Selasa, 29 Julai 2014

Apa sudah jadi? Skuad hoki negara dimalukan Trinidad & Tobago 4-2

GLASGOW - Banyak yang perlu dijawab dan dijelaskan oleh Muhammad Dharma Raj Abdullah dengan prestasi anak-anak buahnya yang dimalukan atas kekalahan 4-2 kepada pasukan tidak ternama, Trinadad & Tobago dalam aksi hoki lelaki Kumpulan B Sukan Komanwel XX semalam.

Ibarat jatuh ditimpa tangga kerana sebelum ini pasukan bimbingannya gagal mencatat sebarang kemenangan untuk merealisasikan sasaran menduduki kelompok 10 terbaik dalam kejohanan Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda pada Jun lalu, apa lagi penjelasan yang boleh diberikan oleh Muhammad Dharma untuk kegagalan kali ini.

Aksi skuad negara jelas tidak bermaya apabila ketinggalan tiga gol ketika permainan babak pertama baru berlangsung separuh jalan menerusi Mickell Pierre pada minit kelapan dan dua pukulan penalti sudut Kwandwane Browne, masing-masing pada minit ke-11 dan 15.

Malaysia cuba bangkit apabila merapatkan jurang gol menerusi pukulan jauh Norhizzat Sumantri pada minit ke-24 tetapi permainan longgar di setiap posisi menyaksikan skuad negara kembali ketinggalan dengan defisit tiga gol.

Browne begitu tajam dalam melakukan pukulan penalti sudut apabila penyerang berusia 36 tahun itu gol sekali lagi menyempurnakannya pada minit terakhir babak pertama untuk Trinadad & Tobago mendahului 4-2.

Harapan untuk menyaksikan Malaysia bangkit pada babak kedua tidak kesampaian apabila serangan skuad negara mudah dipatahkan sementara pasukan lawan pula hanya perlu bertahan sambil sesekali mencemaskan kubu anak-anak buah Muhammad Dharma.

Skuad negara bagaimanapun berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Muhamad Ramadan Rosli tetapi sudah terlambat untuk mengejar.

Skuad negara membuka kempen Sukan Komanwel dengan langkah kanan apabila mengalahkan Kanada 2-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B sebelum dibelasah 8-1 oleh England.

Sementara itu New Zealand menundukkan England 2-1 untuk menduduki tempat teratas Kumpulan B dengan sembilan mata dan skuad Kiwi itu akan bertemu Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat awal esok.

Secara matematiknya, skuad kendalian Muhammad Dharmaa Raj yang memperoleh tiga mata boleh dikatakan sudah terkeluar daripada persaingan untuk ke peringkat kalah mati kerana Kanada mengumpul enam mata bersama-sama pasukan yang dikalahkannya semalam, England.

Jurang perbezaan gol antara skuad negara dengan dua pasukan itu juga terlalu jauh.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140730/su_03/Apa-sudah-jadi-Skuad-hoki-negara-dimalukan-Trinidad-Tobago-4-2#ixzz38uEf0jSp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan