Khamis, 31 Julai 2014

Malaysia dibelasah lagi


 

Malaysia dibelasah lagi
PEMAIN New Zealand, Arun Panchia (kanan) dan pemain pertahanan Malaysia, Baljit Singh terjatuh ketika berebut bola dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Sukan KOmanwel di Glasgow, Scotland semalam. Malaysia kalah 6-1. - AP
GLASGOW - Skuad hoki kebangsaan sekali lagi menerima tamparan hebat apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut setelah di­belasah 1-6 oleh New Zealand dalam perlawanan Kumpulan B Sukan Komanwel XX semalam.

Keputusan tersebut sekali gus menguburkan harapan peminat hoki negara untuk melihat skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah sekurang-kurangnya mengembalikan maruah yang tercalar akibat kekalahan memalukan 2-4 kepada pasukan tidak ternama, Trinidad & Tobago kelmarin.

New Zealand yang berada di ranking keenam dunia, memperoleh dua jaringan dalam aksi babak pertama menerusi pukulan sudut penalti Andy Hayward seawal minit ketiga dan Bradley Shaw pada minit ke-28.

Memasuki separuh masa kedua permainan, pasukan hoki negara terus menggigit jari apabila pihak lawan bertindak agresif dengan meledakkan empat gol dalam tempoh lapan minit, masing-masing menerusi Nick Haig pada minit ke-41, Hugo Inglis (44), Hayward (47) dan Shea McAleese (48).

Bagaimanapuin, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu sempat menamatkan permainan dengan menyumbat gol saguhati, hasil pukulan sudut penalti oleh ketua pasukan, Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-58.

Dengan kekalahan itu, skuad negara yang menduduki tempat keempat Kumpulan B akan menentang pasukan di anak tangga tercorot Kumpulan A, Wales dalam perlawanan klasifikasi.

Kemenangan ke atas Malaysia pula mengesahkan kedudukan New Zealand selaku pemenag Kumpulan B dan akan menentang sama ada India atau Afrika Selatan di separuh akhir.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140801/su_04/Malaysia-dibelasah-lagi#ixzz395I2oxei © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan