Rabu, 30 Julai 2014

'Tak sepatutnya jadi medan ujian'

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
 
MUHAMMAD Rashid Baharom (kanan) beraksi cemerlang ketika menentang Kanada dalam perlawanan pertama acara hoki Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland sebelum ini tetapi dia dan rakan-rakannya menerima kejutan apabila tumpas kepada Trinidad & Tobago kelmarin. - AFP
KUALA LUMPUR - "Mereka nampak seperti tidak serasi dan belum bersedia 100 peratus".

Itu pandangan legenda hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin terhadap kekalahan 2-4 skuad negara kepada Trinidad & Tobago dalam saingan hoki lelaki Kumpulan B, Sukan Komanwel XX kelmarin.

Malah, bekas ketua pasukan kebangsaan itu turut beranggapan kekalahan tersebut mampu menjejaskan tanggapan orang luar terhadap pasukan negara yang selama ini menganggap skuad negara sebagai antara pasukan terbaik di rantau Asia.

"Dalam Sukan Komanwel semua pasukan yang menyertai temasya ini akan menghantar pasukan terbaik mereka dan telah bersedia sepenuhnya kerana ini adalah kebiasaan dilakukan oleh pasukan lain terutama buat negara yang akan beraksi pada Sukan Asia.

"Saya juga tidak bersetuju andai aksi pada Sukan Komanwel dijadikan sebagai ujian buat pemain dalam pasukan untuk persediaan ke Sukan Asia...namun mungkin jurulatih (Muhammad Dharma Raj Abdullah) ada perancangan tersendiri dan hanya dia sahaja yang tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Skuad kebangsaan nampak tidak bermaya kelmarin apabila gagal menyekat asakan pasukan tidak ternama Trinidad & Tobago sekali gus menjadi kekalahan kedua selepas tewas 1-8 kepada England dalam saingan Kumpulan B.

Sementara itu, Nor Saiful Zaini, yang mewakili negara sebanyak 328 kali sebelum bersara, berkata perubahan perlu dilakukan selepas tamat kempen Sukan Komanwel bagi memastikan Malaysia mampu merealisasikan sasaran pingat emas Sukan Asia 2014 di Korea Selatan pada September ini.

"Saya harap pemain faham dalam sukan hoki bukan wang yang patut dikejar sebaliknya minat dan semangat meningkatkan kualiti hoki negara adalah sandaran utama.

"Sekarang ini kita sudah kesuntukan masa untuk menghadapi Sukan Asia dan segala masalah dalam pasukan wajar diselesaikan segera sebelum aksi Sukan Asia," kata Nor Saiful Zaini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140731/su_01/Tak-sepatutnya-jadi-medan-ujian#ixzz38zqxjhdg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan