Khamis, 28 Julai 2016

Juara lalu kecundang


 

ARKIB : 15/03/1998

BERJAYA... Jiwa Mohan gembira meraikan jaringan gol tunggal ESA hasil pukulan sudut penalti. ESA bagaimanapun tumpas 1-2 kepada OLAK pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Remaja (LHR), semalam. - Gambar SHAHARUDDIN ABDULLAH.

PERSATUAN Pelajar Lama Old La Salle Klang (OLAK) membuktikan kegarangan awal untuk membenam juara keseluruhan tahun lalu, Electrical Switchgear Automation (ESA) 2-1 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Remaja (LHR) di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur semalam.

Penguasaan OLAK di segenap inci padang menunjukkan betapa mereka cukup bersedia mempertahankan gelaran liga sekali gus menebus dendam lama apabila kalah 0-1 kepada ESA pada perlawanan akhir tahun lalu.

Babak pertama ternyata menjadi milik mutlak pasukan dari Selangor ini apabila barisan serangan yang diketuai oleh Syayrim Uda Karim kerap kali mendesak kubu ESA dengan larian pantas dan kelicikan mengawal bola.

Hasilnya, gawang lawan dari Pulau Pinang ini tidak mampu menahan asakan lanjut OLAK hingga menyaksikan penjaga golnya, Najib Affendy tertewas buat kali pertama.

Syayrim, salah seorang pemain skuad Remaja Malaysia Projek 2001 mengutip bola yang muntah daripada perebutan di hadapan gol untuk merembat masuk pada minit ke-21.

Jaringan sulung ini serta-merta menyuntik semangat pasukan OLAK yang turut menampilkan tiga lagi pemain Projek 2001 untuk terus 'berkampung' di kubu ESA.

Amin Rahim, Madzli Ikmar dan Faizal Daud yang menyertai Syayrim dalam skuad pelapis negara sentiasa menyelinap ke kubu ESA dengan gerakan pantas bagaimanapun kecemerlangan Najib menafikan sebarang jaringan tambahan OLAK.

Namun kerapuhan barisan pertahanan ESA terhukum kali kedua apabila minit terakhir babak pertama menyaksikan Shahrizal Mastor yang tidak dikawal langsung dalam kawasan D, merembat kencang untuk membawa OLAK mendahului 2-0.

Kesedaran ESA untuk bangkit bersaing hanya muncul sejurus babak kedua mengambil tempat biarpun jaringan menerusi pukulan sudut penalti mereka dibatalkan oleh pengadil kerana pukulan tinggi yang terlalu berbahaya.

Melihat barisan lawan terlalu pantas untuk disaingi di samping kekebalan penjaga golnya, Saiful Azhar Afandi yang seringkali menghampakan mereka, ESA mengalih tumpuan memecah kebuntuan jaringan dengan sudut penalti.

Satu tipu helah (set-pieces) yang menarik dicipta oleh Jivan Mohan ternyata membuahkan hasil sekalipun rembatannya sempat ditampan Saiful sebelum muntah kembali dalam kawasan D OLAK.

Menerpa pantas untuk memanfaatkan kesempatan itu ialah Jiwa Mohan, juga pemain Projek 2001 untuk merapatkan jurang kedudukan buat ESA.

''OLAK berjaya dalam misi pertamanya kerana sentiasa menekan lawan dengan asakan pantas. Namun kami perlu menggilap semula penyudahan sudut penalti yang agak kelam-kabut hari ini (semalam),'' kata penolong pengurus pasukannya, Joseph de Silva.

OLAK dan ESA masing-masing memperoleh 10 pukulan sudut penalti semalam dengan tujuh daripadanya merupakan percubaan tepat ke gol bagi wakil Selangor itu sementara empat kepunyaan juara bertahan keseluruhan.

''Ketiadaan K. Keevan Raj dan K. Logan Raj begitu terasa sekali dan ini menjejaskan sedikit jentera serangan ESA,'' kata pengurus pasukan ESA, Kali Kavandan Sinnan.

Larangan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) yang mahukan kedua-dua pemain itu menumpukan latihan dengan skuad kebangsaan menghalang mereka daripada beraksi pada LHR kali ini.

OLAK akan menghadapi pasukan jiran, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Stadium Pandamaran, Pelabuhan Klang untuk perlawanan keduanya, Jumaat ini.

Sementara ESA melayan kunjungan Sekolah Sukan Bukit Jalil di Stadium Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, hari yang sama.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Fhxqiecs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan