Rabu, 14 September 2016

Hoki: Australia atasi Malaysia

ARKIB : 23/08/1998
MALAYSIA berjaya memaksa Australia berkampung di kawasan D sendiri, tetapi itu belum cukup untuk kembali menjinakkan lawan apabila tumpas 2-0 pada perlawanan ujian kedua di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Jika tiga percubaan seawal babak pertama dimanfaatkan, Malaysia sebenarnya mampu mengejutkan pasukan keempat terbaik dunia itu sekalipun sentuhan lawan ternyata lebih berkesan menerusi jaringan Adam Commens dan Paul Gaudoin.

Apa pun, sekalung pujian memang berhak diberi kepada anak buah Stephen Van Huizen ini sebagaimana ujian pertama Khamis lalu yang menyaksikan Australia diikat seri 2-2.

Sejak awal permainan lagi sudah terpapar kesungguhan pemain negara untuk mencari gol semangat sayangnya rembatan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi pada minit kedua sempat ditampan kemas penjaga gol Australia.

Cubaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin tampil sejurus kemudian, tetapi turut dikekang lawan sebelum pukulan deras pemain remaja, Suhaimi Ibrahim pula tersasar pada minit kesembilan.

Pukulan kencang sudut penalti pertama menerusi Saiful pada minit ke-24 juga belum mampu mengubah nasib Malaysia apabila tertampan tinggi oleh salah seorang pemain pertahanan Australia.

Namun anak buah Terry Walsh biarpun terpaksa bermain dengan 10 orang selepas James Elmer dikenakan kad kuning kerana mengasari Calvin Fernandez, lebih berupaya mencuri peluang menerusi Commens pada minit ke-33.

Tolakan Commens sempat menyapa sedikit kaki penjaga gol negara, Nasihin Nubli, namun tetap menderu masuk sekali gus meletakkan Australia di hadapan.

Australia yang membariskan 11 pemain Piala Dunia di Utrecht, Jun lalu dikerah untuk mengekang sebarang kemaraan Malaysia ke kawasan D pada sebahagian besar babak kedua.

Masalah ketumpulan penyudah dan gemar menyimpan bola terlalu lama menidakkan skuad negara untuk menemui sasaran sedang Australia menggunakan sehingga lapan pemain sebagai benteng penghalang.

Bagaimanapun, minit ke-67 menyaksikan skuad negara dihukum dengan pemberian penalti stroke setelah Nasihin dipersalahkan oleh pengadil kerana mengasari Lachlan Vivian Taylor.

Paul Gaudoin tidak menghampakan rakannya menerusi tolakan sempurna untuk membawa kemenangan selesa 2-0 buat pasukan pelawat.

''Saya kira cubaan merampas bola itu bersih, tetapi nampaknya pengadil mempunyai pendapat sebaliknya. Gerakan kita tidak setajam lawan... itulah yang membezakan keputusan hari ini,'' kata Nasihin selepas perlawanan.

Sementara itu, Stephen, jurulatih negara berkata, skuad negara terperangkap dengan corak pantas sendiri sehingga tidak sempat menyusun barisan pertahanan yang dipergunakan sepenuhnya oleh lawan.

''Keputusan ini tidak bermakna kita lemah. Australia sendiri merasai betapa peritnya tekanan yang kita beri walaupun saya fikir gol kedua boleh dielakkan,'' kata Stephen.

Manakala Walsh yang turut mengakui kehebatan dan penampilan baru Malaysia, berkata: ''Pasukan anda jauh berubah dan kami mengalu-alukan corak dan tekanan seperti ini. Ia memang bagus untuk Australia sendiri.''

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KHQOgOA8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan