Rabu, 14 September 2016

Hoki: Izuan tetap hargai panggilan

ARKIB : 02/09/1998
PELATIH simpanan penjaga gol, Izuan Suhardi Selamat tetap menghargai panggilan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) untuk menyertai sesi latihan sekalipun menyedari namanya tidak tersenarai dalam skuad 16 pemain negara ke Sukan Komanwel XVI (KL '98), lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Izuan, 24, hanya memikirkan kepentingan untuk berbakti buat negara sekali gus memajukan prestasi peribadi tanpa mempedulikan kehadirannya itu sekadar langkah persediaan jika ada di antara dua penjaga gol kini mengalami kecederaan.

''Saya tidak kisah sama ada terpilih atau tidak. Yang penting, masa yang terluang dapat saya gunakan untuk membantu rakan sepelatih.

''Harap-harapnya ini mampu meringankan beban Nasihin Nubli dan Roslan Jamaluddin. Mungkin di masa lain, nasib saya akan berubah (mewakili negara),'' katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Izuan yang baru memungut tiga penampilan antarabangsa tahun ini, pernah bermain sepenuh masa dalam dua perlawanan siri ujian menentang Korea Selatan, bulan lalu.

Katanya, sekalipun kedua-dua perlawanan tersebut menyaksikan skuad negara tewas 1-2 dan 1-3, dia kini sudah mengenal pasti banyak kelemahan diri dengan bimbingan ketua jurulatih dari Jerman, Paul Lissek.

''Lissek mendedahkan secara terperinci apa kesilapan saya ketika siri ujian di Korea lalu. Ini banyak mematangkan corak permainan saya,'' kata kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi itu.

Khidmat Izuan serta lima pemain yang digugurkan Jumaat lalu - Syayrim Uda Karim, Azlin Fairuz, Saiful Azli, K. Gobinathan dan Mazli Ikmar masih dikekal untuk mempertajamkan prestasi latihan skuad negara sebelum menghadapi perlawanan sulung KL '98 menentang Kenya, 10 September.

Penolong jurulatih negara, Yahya Atan berkata, mereka bagaimanapun tidak akan disenarai dalam barisan 16 pemain menentang Afrika Selatan pada perlawanan persahabatan 7 September ini.

''Menentang Afrika Selatan cuma sebagai pemanas badan, tetapi matlamat pentingnya bukanlah untuk mencari pemain baru atau menukar sesiapa yang terpilih,'' katanya.

Sementara itu, penyerang Chairil Anwar Aziz yang turut berlatih semalam, perlu melalui ujian ultrasonik hari ini untuk memastikan tahap kecergasannya pulih selepas mengalami kecederaan groin kanan ketika siri ujian di Korea dulu.

Ujian di Bukit Jalil itu bakal dikendalikan oleh Pengarah Insitut Sukan Negara (ISN), Dr. Ramlan Aziz sambil dibantu oleh pakar radiologi dari Hospital Universiti Petaling Jaya, Dr. John George.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4KI3Hy2cf © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan