Selasa, 6 September 2016

Malaysia kena belasah

ARKIB : 22/05/1998
Malaysia kena belasah
MALAYSIA longlai dalam langkah sulung perlawanan kumpulan B pusingan akhir Hoki Piala Dunia apabila menjadi mangsa belasahan Pakistan 2-7 di Stadium Frockey, Utrecht, Belanda semalam.

Hajat besar skuad negara untuk mengulangi kemenangan kali terakhir ke atas lawan 2-1 ketika Sukan Asia di Seoul 1986 cuma tinggal impian semata-mata setelah dibenam dengan jaringan Rahim Khan (9), Muhammad Shahbaz (15), Shahbaz Ahmed (26), Sohail Abbas (31), Tahir Zaman (45), Kamran Ashraf (54) dan Atif Bashir pada minit ke-62.

Pengurus pasukan negara, S. Kali Kavandan ketika dihubungi Sukan Utusan berkata, pemain Malaysia tetap menunjukkan semangat juang yang tinggi sekalipun akhirnya terpaksa menyerah kepada lawan yang berada antara empat pasukan terbaik dunia.

''Kita memperoleh 11 pukulan sudut penalti. Dua daripadanya menepati sasaran hasil sentuhan ketua pasukan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin,'' kata Kali.

Saiful, pemain paling berpengalaman negara menyempurnakan dua daripada sembilan sudut penalti yang diperoleh untuk gol sagu hati Malaysia pada minit ke-57 dan 64.

Sementara penolong jurulatih negara, Yahya Atan turut sependapat dengan Kali apabila menilai persembahan keseluruhan anak didiknya semalam.

''Pakistan cuma dapat lima sudut penalti. Malah serangan Malaysia sebenarnya tidak kurang hebat di samping pujian harus diberikan kepada penjaga gol Pakistan, Ahmed Alam yang bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.

''Cubaan Saiful misalnya dua kali terkena tiang. Jika dibandingkan peluang menjaringkan gol, ia berpihak kepada kita tetapi Pakistan nampaknya lebih tepat dan tajam untuk tindakan penyudah,'' jelas Yahya.

Tambahnya, Pakistan banyak bergantung kepada lorongan bola oleh pemain berpengalaman mereka, Shahbaz Ahmed selain Tahir Zaman.

''Sekalipun Malaysia menugaskan Aphthar Singh dan Chairil Anwar Aziz sebagai pembayang (marker) Shahbaz, dia ternyata masih mampu meluluskan diri dengan kemahiran tersendirinya.

''Namun, skuad negara tetap berpuas hati kerana mampu memberikan saingan sedaya upaya,'' ujarnya lagi.

Malaysia akan menghadapi Poland, esok untuk perlawanan keduanya, juga di Stadium Frockey.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0522&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JTC3mqvm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan