Sabtu, 10 September 2016

Malaysia nyaris tercorot

ARKIB : 01/06/1998
Malaysia nyaris tercorot
BAGAIKAN satu kebetulan, tanpa Volker Knapp sebagai ketua jurulatih skuad negara sesudah kontraknya tamat kelmarin, barulah Malaysia mampu menamatkan kemarau kemenangan sepanjang kejohanan Hoki Piala Dunia ke-9 di Utrecht, Belanda.

Kemenangan sulung 5-4 ke atas Poland sekalipun hanya tiba pada perlawanan penentuan tempat ke-11 dan 12 di Stadium Frockey semalam, sekurang-kurangnya masih menebus kehampaan dua pertemuan terdahulu ketika peringkat kumpulan B dan pusingan kelayakan di Kuala Lumpur, Mac tahun lalu.

Pertemuan 23 Mei lalu menyaksikan anak buah Knapp ini sekadar seri 1-1 sekali gus menyekat hasrat untuk membalas dendam 4-5 kepada lawan dari Eropah Timur itu, di Kuala Lumpur.

Kejayaan Malaysia semalam berjaya mengelak daripada menghuni tempat tercorot _ igauan lebih buruk sepanjang sejarah penyertaan pada Piala Dunia.

Bagaimanapun, skuad negara dikejutkan seawal minit kelapan lagi sebaik sahaja Poland membuka jaringan menerusi Maciej Matuszyski sebelum Rafal Grotowski dan Slawomir Lukaszewski tampil dengan gol kedua dan ketiga.

Penyerang handalan negara, Mirnawan Nawawi yang baru memperoleh sentuhan jaringan ketika melawan New Zealand kelmarin, sekali lagi menyerlah dengan sumbangan dua golnya untuk merapatkan kedudukan 2-3 sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan skuad negara melangkah lebih yakin untuk beroleh gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan pada minit ke-35.

Chairil Anwar Aziz kemudian meletakkan Malaysia di hadapan buat kali pertama pada minit ke-59 apabila menyudahkan gerakan padang.

Sekalipun Poland mendapat penalti stroke untuk menyamakan kedudukan menerusi Lukaszewski pada minit ke-54, ketua pasukan Nor Saiful Zaini Nasiruddin memastikan Malaysia tidak terus kempunan, dengan jaringan keempatnya sepanjang Piala Dunia ini.

Skuad negara dijangka kembali ke tanah air Rabu ini untuk menyambung latihan menghadapi misi berikutnya _ Sukan Komanwel ke-16 di Kuala Lumpur di bawah bimbingan jurulatih baru, Paul Lissek yang dipinjamkan daripada Persekutuan Hoki Jerman selama tiga bulan selepas Piala Dunia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Js3Sj3dG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan