Selasa, 29 November 2016

Pertahanan hampakan Malaysia


 

ARKIB : 04/04/1999
PEMAIN pertahanan Malaysia, Jiwa Mohan (4) hampir tersungkur diasak keras pemain Kanada, Rick Roberts pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, semalam. Malaysia tumpas lagi 1-2.

JELMAAN baru corak permainan Malaysia semalam masih tidak memadai untuk mencatat kemenangan sulung apabila terus kecundang, kali ini 1-2 kepada Kanada dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-9, semalam, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Segala sentuhan mengagumkan berbanding menentang New Zealand kelmarin, diragut dek kelemahan barisan pertahanan negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi jaringan Ken Pereira dan Sean Campbell pada minit ke-56 dan 65, Kanada melunaskan dendam kekalahan 1-2 ketika bersaing untuk ke separuh akhir Sukan Komanwel, September lalu.

Malaysia bagaimanapun membuka gol seawal minit keenam menerusi tolakan tepat S. Kuhan daripada pukulan sudut penalti sulung.

Selepas itu, kesebelasan pemain negara bagaikan mengulangi aksi cemerlang separuh akhir Sukan Komanwel lalu dengan hantaran kemas dan kejituan semangat berpasukan.

Sentuhan kemahiran Mirnawan Nawawi dan kekangan padu lagi tenang penjaga gol Roslan Jamaluddin antara aksi yang mengesahkannya.

Anak buah Stephen van Huizen ini nyaris menambah gol pada minit ke-37, sayangnya pukulan kilas Mirnawan selepas kawalan bola yang kemas, tersasar beberapa inci dari sasaran.

Hantaran jauh Kuhan, 10 minit kemudian kepada Suhaimi Ibrahim pula gagal disudahkannya sekalipun cuma berdepan satu sama satu dengan penjaga gol Kanada, Hari Kant.

Sebaliknya Kanada mencuri situasi kelam-kabut kubu Malaysia selepas kawalan bola yang lemah oleh Chua Boon Huat untuk gol penyamaan Pereira. Campbell pula mencipta jaringan kemenangan hasil umpanan lintang, 11 minit kemudian.

Stephen, ketua jurulatih negara berkata: ''Mutu permainan pasukan negara meningkat (berbanding ketika kalah 1-4 kepada New Zealand). Hantaran mereka kali ini tepat dan kawalan bola juga kian baik.

''Cuma pemain muda khususnya teragak-agak mengeluarkan bola. Akibatnya kami dihukum dengan kesilapan yang memberi gol pertama lawan,'' kata Stephen.

Tentu sahaja jurulatih Kanada, Shiaz Virjee gembira dengan kemenangan sulung anak buahnya ini selepas tumpas teruk 3-6 kepada Pakistan, kelmarin.

''Selepas kalah, kemenangan sungguh bermakna. Malaysia bermain bagus dengan corak pantas mereka. Kami sentiasa bimbang apabila Malaysia mendapat sudut penalti,'' kata Virjee.

Sementara itu, Pakistan terus melebarkan rekod kemenangan mereka sekali gus mendahului kedudukan mata apabila membenam Korea Selatan 6-2 pada satu lagi perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RRtIXver © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan