ARKIB : 11/05/2000
MALAYSIA melengkapkan kuota
empat pasukan ke separuh akhir Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia selepas
mengalahkan Pakistan 3-1 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur,
semalam.
Skuad negara memberi aksi
terbaik pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu untuk menafikan hasrat
Pakistan dalam perebutan status naib juara kumpulan.
Kemenangan itu sekali gus
meletakkan Malaysia hanya setapak lagi untuk meneruskan cabaran pada Kejohanan
Piala Remaja Dunia di Hobart, Australia, Mei tahun depan.
Pada perlawanan semalam,
Malaysia mendahului 2-1 di babak pertama menerusi jaringan M. Jiwa seawal minit
ke-15, sebelum penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim menyumbat masuk gol kedua
negara di minit ke-17.
Begitupun, Sameer Hussain
kembali mendekatkan jurang apabila merembat masuk gol tunggal Pakistan pada
minit ke-20.
Kedua-dua pasukan terus
bersaing hebat di babak kedua, tetapi jaringan ketiga oleh Norazlan Rahim pada
minit ke-48 akhirnya meleburkan impian Pakistan untuk beraksi di Hobart, tahun
depan.
Malaysia yang kini naib juara
kumpulan A akan bertemu juara kumpulan B, India esok manakala juara kumpulan A,
Korea Selatan menentang Jepun bagi menentukan tempat ke perlawanan akhir.
Dalam perlawanan kumpulan B,
Jepun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir selepas mengalahkan Uzbekistan
6-2.
Begitupun, Doniyorbek
Holmirzaev mengejutkan skuad negara matahari terbit itu dengan jaringan
pendahuluan pada minit ke-12, sebelum Watanabe Daisaku menyamakan kedudukan,
minit ke-22.
Tamekuni Takeshi memastikan
Jepun mendahului 2-1 pada babak pertama permainan hasil jaringan pada minit
ke-24.
Pada babak kedua, dia
melengkapkan hatrik dengan dua gol lagi di minit ke-46 dan 56 manakala dua gol
lagi hasil jaringan Ozawa Kazuyuki pada minit ke-38 dan 59. Gol kedua
Uzbekistan disumbat masuk oleh Sherzod Bayaraev pada minit ke-53.
Kemenangan Jepun itu sekali gus
menghampakan hasrat China dalam perebutan tempat selaku naib juara kumpulan B
yang menjadi milik Jepun dengan kelebihan 10 mata berbanding 9 oleh China.
China sebelum itu menggunakan
sepenuhnya kesempatan untuk membelasah Iran 14-0, sambil mengharapkan pertemuan
Jepun dan Uzbekistan akan berkesudahan seri bagi membolehkan mereka menerus
cabaran ke separuh akhir namun impian itu tidak kesampaian.
Pasukan itu mendahului tujuh
jaringan tanpa balas di babak pertama dan meneruskan penguasaan di babak kedua.
Na Yubo membuka tirai jaringan
untuk China menerusi rembatannya seawal minit ketiga permainan, diikuti
jaringan pertama Song Yi, di minit keenam.
Song yang muncul penjaring
terbanyak perlawanan kemudian menambah lima gol lagi pada minit ke-14, 20, 38,
48 dan 61, Qiaq Yundan dengan dua gol pada minit ke-31 dan 63.
Yu Yang turut menyumbat masuk
dua gol pada minit ke-40 dan 64 manakala gol-gol lain oleh Yang Guangsen (11),
Jiang Xishang (22) dan He Xu (66).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSvUBq8n
© Utusan Melayu (M) Bhd