Ahad, 11 Disember 2016

3 muka lama kembali


 

ARKIB : 13/11/1999
SELEPAS empat tahun, Zam Zam Mohd. Ali (kanan) kembali tersenarai dalam skuad negara ke Kejohanan Hoki Piala Asia Kelima sambil mengetepikan pemain remaja seperti Syayrim Uda Karim di sebelahnya.

TIGA muka lama kembali menyarung jersi negara apabila terpilih dalam senarai 18 pemain Malaysia bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia Kelima di Kuala Lumpur mulai Khamis ini.

Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Zam Zam Ali dan Suhairi Saidi merupakan mereka yang berjaya memikat jawatankuasa pemilihan semalam selepas ujian terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Saiful, 33, yang bersara dari arena antarabangsa sejurus selepas Sukan Komanwel XVI tahun lalu, meraih semula kepercayaan pengurusan pasukan atas prestasi cemerlangnya sepanjang Liga Hoki Malaysia, bulan lalu.

Begitu juga Suhairi dan Zam Zam yang masing-masing turut menyerlah ketika membantu Maybank bergelar naib juara kejohanan liga yang mengetepikan pasukan pilihan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada separuh akhir.

Kali terakhir Suhairi mewakili negara ialah ketika satu perlawanan ujian menentang Korea Selatan di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Zam Zam pula merakamkan aksi antarabangsanya yang terakhir dengan kalungan pingat emas buat negara pada Sukan SEA 1995 di Chiang Mai.

Sayang sekali, tiga tonggak Sukan Komanwel - Maninderjit Singh, Chairil Anwar Aziz dan K. Logan Raj terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan.

Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Datuk Seri P. Alagendra berkata, mereka dinasihatkan berehat oleh pakar perubatan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mengelakkan kecederaan lebih parah.

Logan didapati cedera pada kedua belah tulang keringnya manakala Maninderjit masih berbalut pada tangan kanan selain Chairil belum pulih daripada kecederaan tumit yang diamali ketika liga lalu.

''Pemilihan diibuat lebih awal bagi memudahkan tugas jurulatih merangka strategi pasukan,'' kata Alagendra yang mengetuai jawatankuasa di samping Ho Koh Chye, Datuk Seri Manap Ibrahim dan pengurus R. Yogeswaran serta ketua jurulatih Stephen van Huizen.

Stephen berkata, Saiful dipilih semula kerana ciri kepimipinannya di dalam dan luar padang yang mampu membantu meringankan tugas ketua pasukan Mirnawan Nawawi.

''Apa yang perlu ialah menyesuaikan Saiful dengan pemain lain dalam tempoh terdekat ini,'' katanya mengulas mengenai penampilan semula penyerang veteran itu yang cuma menyertai sesi latihan sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi tonggak Sukan Komanwel, Calvin Fernandez tidak tersenarai ke Piala Asia sesudah cuma menyertai sesi latihan mulai kelmarin.

''Dari segi fizikal, Calvin didapati tidak bersedia untuk bermain,'' ulas Stephen tentang persembahan Calvin semalam yang bersara sementara selepas Sukan Komanwel bagi menumpukan perhatian kepada pengajian kedoktoran di sebuah universiti.

Malaysia diletakkan bersama India, Jepun, Kazakhstan dan Hong Kong dalam kumpulan A pada kejohanan di Stadium Hoki Nasional itu manakala kumpulan B terdiri daripada juara bertahan, Korea Selatan, Pakistan, China, Bangladesh dan Sri Lanka.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SbPkHcNN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan