Isnin, 12 Disember 2016

Benteng negara masih longgar

ARKIB : 17/11/1999
TANPA tiga pemain tonggak, skuad negara perlu mengambil masa untuk mencari keserasian gandingan bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia Kelima yang bermula esok.

Ketiadaan Maninderjit Singh, Chairil Anwar Aziz dan K. Logan Raj jelas dirasai skuad negara ketika berdepan dengan Korea Selatan dalam perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Mereka bertiga yang merupakan antara wira Sukan Komanwel tahun lalu, diketepikan daripada Piala Asia akibat masalah kecederaan.

Malaysia kalah 0-4 dan dua daripada jaringan Korea itu diperoleh akibat kesilapan barisan belakang anak buah Stephen van Huizen ini.

''Gol itu terlalu mudah kita hadiahkan kepada lawan. Kita tidak boleh menanggung risiko sebegini jika menentang pasukan yang bertaraf tinggi seperti Korea,'' kata Stephen, ketua jurulatih negara.

Korea yang menganggotai kumpulan A, berasingan daripada Malaysia, beroleh golnya menerusi Kim Min Sik, Lee Jung Sun, Song Seong Tae dan Jung Seong Tae.

Kata Stephen, kesilapan seperti semalam amat mudah dipergunakan lawan yang bijak untuk memerangkap Malaysia.

Stephen menurunkan Zam Zam Mohd. Ali selaku tulang belakang utama Malaysia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Maninderjit.

Penyerang, Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang keluar dari alam persaraan antarabangsa sejak minggu lalu, turut bermain tetapi dua rembatan derasnya menerusi sudut penalti masih gagal menggugat Korea.

''Apa pun, secara keseluruhan, prestasi pemain boleh dianggap OK. Cuma kita perlu lebih berwaspada pada pertandingan sebenar nanti,'' kata Stephen.

Ujarnya, muka baru seperti S. Shankar turut menunjukkan kemajuan semalam dan tidak mustahil tersenarai dalam kesebelasan utama skuad negara.

Bersama skuad kebangsaan, Shankar hanya menimba pendedahan antarabangsa pada Sukan SEA XX Brunei, Ogos lalu.

Penyerang sensasi negara, Mirnawan Nawawi pula cuma menjadi pemerhati dari luar padang kerana belum pulih daripada demam manakala Nor Azlan Bakar turut dikecualikan kerana kecederaan kecil.

Zam Zam berkata, dia turut memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan peranan penting di barisan belakang itu setelah tidak bermain di peringkat antarabangsa sejak empat tahun lalu.

''Saya akui dengan Korea tadi, ada kesilapan di pihak kita dalam melepaskan gol tapi berikan sedikit masa untuk membaikinya,'' kata Zam Zam yang kali terakhir bersama Malaysia pada Sukan SEA Chiang Mai 1995.

Malaysia akan menghadapi Hong Kong pada perlawanan sulungnya dalam kumpulan B Piala Asia, Jumaat ini manakala Korea juga menghadapi laluan mudah dengan menentang Bangladesh, hari yang sama.

Sementara itu, kemenangan semalam masih belum mendatangkan rasa puas hati kepada jurulatih merangkap pengurus pasukan Korea Selatan, Kim Sang Ryul.

''Kami buat banyak kesilapan. Umpanan sesama pemain kurang licin walaupun Malaysia bermain agak perlahan,'' ulas Kim mengenai pasukannya yang merupakan juara bertahan kejohanan 1993.

Sementara itu, Pakistan turut memberikan amaran awal akan terus mengganas menjelang perlawanan pertamanya, Jumaat ini, apabila membelasah Jepun 6-1 pada satu lagi perlawanan persahabatan.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SdusyLY0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan