Khamis, 15 Disember 2016

Chairil, Calvin kembali beraksi

ARKIB : 05/02/2000
PENYERANG berpengalaman, Chairil Anwar Aziz dan pemain tengah Calvin Fernandez kembali menyarung jersi kebangsaan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-10 akhir bulan ini.

Kedua-duanya adalah antara 18 pemain dan empat pemain simpanan yang dipilih hari ini untuk kejohanan itu yang dijadualkan dari 16 hingga 26 Februari di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Persekutuan Hoki Malaysia (MHF) menganggap pemilihan itu sebagai 'pasukan terbaik' pada masa ini dan membayangkan mereka akan dikekalkan bagi kejohanan yang lebih penting, pusingan kelayakan Olimpik Sydney di Osaka Jepun bulan depan.

Selain Chairil dan Calvin, penamaan pemain lain yang mengejutkan termasuk pemain penyerang Mohd. Syarim Uda Karim, 19, yang digugurkan daripada pasukan kebangsaan semasa lawatan ke Osaka bulan lepas.

Chairil, 27, yang kali terakhir bermain pada Sukan SEA di Brunei tahun lepas, tidak beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Asia November lepas kini pulih daripada kecederaan tumit kanan.

Timbalan Presiden MHF Datuk Seri P. Alagendra yang mengumumkan barisan kebangsaan itu di sini berkata doktor pasukan, Dr Ramlan Aziz mengesahkan Chairil sudah bebas daripada kecederaan.

Alagendra juga berkata, Calvin yang kali terakhir bermain pada Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada 1998, sudah menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan dan boleh memberi tumpuan kepada kejohanan itu.

Alagendra juga berkata skuad yang dipilih bermain pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini mungkin bermain bagi perlawanan kelayakan Olimpik Sydney tetapi mengingatkan kepada pemain supaya tidak menganggap kedudukan mereka sudah terjamin.

''Mereka adalah pemain yang layak ke Osaka dan pemain yang dipilih hari ini sudah melangkah sebelah kaki ke pusingan kelayakan ke Olimpik. Bagaimanapun, mereka yang mengambil mudah mungkin hilang tempat,'' katanya sebagai memberi amaran kepada barisan kebangsaan itu.

Alagendra berkata Malaysia akan menentang Kanada dalam perlawanan persahabatan di sini pada 14 Februari, dua hari sebelum Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah.

Malaysia bertemu Kanada dalam perlawanan pembukaan Piala Sultan Azlan Shah di sini pada 16 Februari.

Tujuh negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah Malaysia, Kanada, Jerman, New Zealand, Korea Selatan, India dan Pakistan.

Pasukan Kebangsaan akan berehat dua hari sempena perayaan Tahun Baru Cina mulai esok dan akan melaporkan diri untuk latihan pusat Isnin ini.

Malaysia akan bersaing dalam pusingan kelayakan ke Olimpik Sydney di Osaka antara 9 dan 20 Mac.

Malaysia diletakan dalam kumpulan B bersama-sama Argentina, Belarus, Pakistan, Sepanyol dan Switzerland manakala kumpulan yang lain membabitkan Belgium, Britain, Jepan, Korea Selatan, New Zealand dan Poland.

Enam pasukan terbaik di Osaka layak ke Olimpik Sydney pada September.

Pasukan yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Sydney terdiri daripada Australia, Kanada, Jerman, India, Belanda dan Afrika Selatan.

Alagendra berkata Malaysia akan bermain dalam dua perlawanan persahabatan di Osaka sebelum pusingan kelayakan itu. Malaysia akan bertemu Britain pada 5 Mac dan Poland keesokan harinya. Pasukan kebangsaan itu akan berlepas ke Osaka pada 3 Mac.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Su64btRj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan