ARKIB : 23/04/2000
JUARA bertahan, Kuala Lumpur
dan Pasukan Remaja Kebangsaan menepati ramalan apabila mara ke perlawanan akhir
dengan mengetepikan pencabar masing-masing pada Kejohanan Hoki Piala Razak di
Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Kuala Lumpur membuka tirai
separuh akhir semalam dengan membelasah Tentera 9-0 manakala Pasukan Remaja
Kebangsaan menewaskan Johor 4-2.
Kuala Lumpur yang dibarisi
kebanyakan pemain dan bekas pemain kebangsaan bagaimanapun memberi aksi kurang
bertenaga ketika berdepan Tentera yang bermain di tahap rendah.
Ketua pasukan, Mirnawan Nawawi
melakukan hatrik selepas membuka tirai perlawanan dengan jaringan pertama
seawal minit kelima permainan.
Pada minit ke-11, Tentera
mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, tetapi rembatan yang
dilakukan oleh Md. Noor Saad ditampan kemas oleh penjaga gol Kuala Lumpur,
Roslan Jamaluddin.
Sebaliknya, Kuala Lumpur yang
menggandakan serangan memperoleh gol kedua apabila lorongan yang dilakukan oleh
Nor Saiful Zaini Nasiruddin dirembat masuk oleh M. Kaliswaran.
Dua minit kemudian, S. Kuhan
menjadikan kedudukan 3-0 apabila merembat masuk bola pukulan sudut penalti
untuk menewaskan penjaga gol Tentera, Ku Baharuddin Ku Sulaiman dan kedudukan
itu kekal sehingga tamat babak pertama.
Pada babak kedua, Kuala Lumpur
terus menguasai permainan dan mempoleh gol keempat menerusi Nishel Kumar,
sebelum Mirnawan menjaringkan dua lagi gol pada minit ke-46 dan 49, menjadikan
kedudukan 6-0.
Gol ketujuh Kuala Lumpur yang
disumbat masuk oleh Kuhan pada minit ke-51, memaksa Tentera melakukan
pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Khairi Daud.
Namun, usaha itu gagal
menghalang asakan lawan yang menambah jaringan menerusi M. Neruji (55) dan gol
kemenangan jaringan Mohd. Faizal Daud pada minit ke-65.
Pasukan Remaja Kebangsaan (PRK)
pula diberi tentangan sengit sebelum memastikan tempat ke akhir dengan
mengalahkan Johor 4-2.
K. Keevan Raj membuka tirai
jaringan buat Remaja Kebangsaan pada minit ke-12, tetapi lapan minit kemudian
Simon Mathew berjaya menyamakan kedudukan buat pasukan dari selatan tanah air
itu.
Skuad Remaja yang menggandakan
asakan memperoleh gol kedua apabila Tajol Rosli merembat masuk bola pada minit
ke-29 untuk kedudukan 2-1 sehingga tamat babak pertama.
Aksi kemas jentera serangan
memastikan skuad Remaja memperoleh gol ketiga hasil rembatan Mohd. Fairus Ramli
pada minit ke-43.
Begitupun, kekasaran yang
dilakukan barisan pertahanan skuad itu membawa padah apabila pengadil
memberikan pukulan penalti strok kepada Johor yang disempurnakan oleh Suhairi
Saidi pada minit ke-48.
Gol kemenangan skuad Remaja
dijaringkan oleh Keevan pada minit ke-69, sekeli gus menempah pertemuan dengan
Kuala Lumpur pada perlawanan akhir, hari ini.
Kedua-dua pasukan sebelum ini
pernah terikat 3-3 pada persaingan peringkat kumpulan A.Keputusan lain
Tempat ke-9/10: Selangor kln
Terengganu 3-2; Tempat ke-5/8: Perak kln Melaka 2-2 (Perak menang penentuan
penalti 4-3); Pahang kln Pulau Pinang 4-0.
Jadual Hari Ini
Tempat ke-7/8: Melaka lwn
P.Pinang (9.30 pg); Tempat ke-5/6: Perak lwn Pahang (9.30 pg); Tempat ke-3/4:
Tentera lwn Johor (4 ptg); Akhir: Kuala Lumpur lwn Remaja Kebangsaan (6 ptg).
* Semua perlawanan di Stadium
Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpu
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TIXnZK8l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan