Rabu, 21 Disember 2016

Giliran belasah Singapura

ARKIB : 09/05/2000
MALAYSIA meneruskan aksi cemerlang apabila membelasah Singapura 9-0 dalam perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Begitupun, kemenangan besar itu tidak mengubah kedudukan skuad negara yang kekal di tangga ketiga kumpulan, di belakang Pakistan dan Korea Selatan.

Malaysia kini perlu menewaskan Pakistan bagi memastikan tempat ke separuh akhir dan ia turut bergantung kepada keputusan perlawanan antara Pakistan dan Korea Selatan hari ini.

Chua Boon Huat muncul penjaring terbanyak dengan lima gol hasil jaringan pada minit keenam, 14, 24, 37 dan 43 pada perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh skuad negara.

Norazlan Rahim menambah dua gol pada minit ke-15 dan 38, manakala K. Keevan Raj dan Tajol Rosli masing-masing menyumbat masuk satu gol pada minit ke-55 dan 57.

Malaysia akan meneruskan cabaran menentang pendahulu, Pakistan esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sementara itu, India hampir mencipta rekod dunia apabila mencatat kemenangan terbesar 22-0 ke atas Iran bagi memperkukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan B.

Rekod dunia kini dipegang oleh skuad senior negara itu yang mengalahkan Amerika Syarikat 24-0 pada Sukan Olimpik 1932.

Pasukan itu yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir bertindak garang tanpa memberi peluang kepada lawan untuk bangkit selepas mendahului 8-0 pada babak pertama.

Prabjot Singh muncul penjaring terbanyak perlawanan ini dengan enam gol pada minit ke-14, 22, 60, 61, 65 dan 67, Ajit Singh Gagan menyumbat tiga gol pada minit ketujuh, kesembilan dan 27.

Len Ayappa membolosi tiga gol pada minit ke-25, 54 dan 68, begitu juga dengan Bikramjit Singh menerusi jaringan minit ke-44, 46 dan 59, manakala Inderjit Singht menyumbang dua gol minit ke-13 dan 20.

Shamsuz Zoha, Arjun Halappa, Bimal Lakra, Amarjit Singh dan Paramjit Singh masing-masing menambah satu gol pada minit ke-41, 50, 57, 63 dan 65 untuk membolehkan India berpesta gol.

Sementara itu, Jepun dan Bangladesh sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, sekali gus membuka persaingan merebut satu lagi tempat ke separuh akhir.

Bangladesh menguasai perlawanan semalam, tetapi gagal menemui aksi penyudah termasuk sembilan pukulan sudut penalti tanpa jaringan.

Oleh: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSlb4Rnd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan