Khamis, 15 Disember 2016

Hatrik Suhaimi cemerlang Malaysia


 

ARKIB : 17/02/2000
PENYERANG negara, Suhaimi Ibrahim (dua dari kanan) dipeluk rakan sepasukan, Chua Boon Huat ketika meraikan gol pertama dalam perlawanan menentang Kanada pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 3-1. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN.

PEMAIN muda negara, Suhaimi Ibrahim meletakkan Malaysia pada permulaan cemerlang apabila mencipta jaringan hatrik ketika skuad negara mengulangi kemenangan 3-1 ke atas Kanada pada perlawanan kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah semalam.

Skuad negara yang masih segar dari kemenangan dengan jumlah gol yang sama pada perlawanan persahabatan Isnin lalu, bermain dengan kemas serta menunjukkan kematangan di bahagian pertahanan selain kepintaran penjaga gol, Mohd, Nasihin Nubli menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya termasuk lapan pukulan sudut penalti.

Anak buah Stephen Van Huizen itu mengasak awal dan berjaya memerangkap Kanada menerusi serangan pantas pada minit kedua yang disudahi oleh Suhaimi selepas menerima hantaran tepat Chua Boon Huat di dalam kawasan D.

Larian-larian pantas Suhaimi yang telah bermain dalam 40 perlawanan antarabangsa sebelum ini terus membuatkan pertahanan lawan kelam-kabut dan mencatat nama sekali lagi sebagai penjaring pada minit ke-20.

Menerusi satu serangan balas, penyerang, M. Kaliswaran membuat hantaran ke dalam kawasan 16. Suhaimi mengejar bola sebelum membuat larian solo ke dalam kawasan D dan mengecewakan penjaga gol lawan, Mike Mahood dengan menyungkit bola dari sudut sukar.

Perlawanan selepas itu mula seimbang apabila Kanada menyusun semula gerakan. Pasukan yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Sydney itu akhirnya berjaya mendekatkan jurang jaringan melalui pukulan sudut penalti ketujuh disempurnakan oleh pemain paling senior, Peter Milkovich pada minit ke-23.

Kedua-dua pasukan terus mengatur serangan pantas tetapi gagal menambah jaringan sehingga permainan separuh masa pertama tamat.

Perlawanan babak kedua bagaimanapun agak perlahan dengan menyaksikan Kanada dihampakan oleh ketangkasan Nasihin mempertahankan pintu golnya.

Bagaimanapun, stadium bergemuruh semula di minit-minit terakhir apabila Suhaimi sekali lagi mempamerkan kelicikannya menerusi larian solo ke dalam kawasan D sebelum merembat kencang untuk gol terakhir perlawanan.

Kemenangan itu bagaimanapun belum cukup menggembirakan jurulatih negara, Stephen Van Huizen yang melihat anak-anak buahnya bermain lebih mantap dalam pertemuan pertama dengan Kanada Isnin lalu.

''Mereka bermain lebih baik dalam perlawanan persahabatan, tetapi barisan pertahanan kita berkubu dengan cemerlang,'' katanya selepas perlawanan.

Beliau turut memuji permainan yang ditunjukkan oleh Suhaimi dan Nasihin yang menurutnya telah membuktikan mereka mampu diharapkan.

''Suhaimi telah membuktikan dia boleh menjadi penyerang berbahaya dalam tempoh terdekat,'' katanya.

''Nasihin pula membuktikan kepada kita bahawa dia juga setanding Roslan dan ini melegakan kita kerana kita telah mempunyai dua penjaga gol yang bagus.''

Mengenai pertemuan dengan Jerman esok yang disifatkan pertembungan guru dengan murid, Stephen hanya berkata: ''Mereka tahu semua kelemahan kita... sukar untuk saya katakan mengenai peluang untuk menang''.

Sementara itu, jurulatih Kanada, Shiaz Virjee memuji pasukan negara yang menurutnya mempergunakan peluang terhidang dengan sempurna.

Beliau sebaliknya kesal kerana anak-anak buahnya gagal menunjukkan mutu permainan sebenar terutama melepaskan sembilan pukulan sudut penalti.

''Mensia-siakan peluang sebanyak itu sesuatu yang tidak dapat diterima. Kita perlu berbuat sesuatu sepanjang tujuh bulan ini sebelum Olimpik bermula,'' jelasnya.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan skuad negara telah bertahan dengan baik serta menggunakan kesilapan teknikal anak buahnya untuk mencipta jaringan.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0217&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SuxBjUy5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan