Rabu, 21 Disember 2016

Hoki Lelaki Piala Remaja Asia -- Chua sekat Korea

ARKIB : 08/05/2000
DUA jaringan oleh pemain pertahanan, Chua Boon Huat memastikan Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol pada babak pertama ketika seri 2-2 dengan Korea Selatan pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Korea Selatan yang juga pasukan pilihan bermula garang dengan mengasak kubu negara dan hampir mendapat gol awal pada minit ke-13 apabila Jung Seong Tae merembat bola hantaran Lee Hee Seong, tetapi pukulannya tersasar.

Begitupun, usaha keras Seong Tae itu membuahkan hasil apabila dia menyumbat masuk gol pertama Korea Selatan pada minit ke-24 selepas berlaku pergelutan di depan pintu gol negara.

Malaysia mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-30, tetapi Mohd. Fairuz Ramli yang hanya berdepan penjaga gol lawan, Lee Myung Ho gagal melakukan aksi penyudah.

Sebaliknya, Korea Selatan yang melakukan serangan balas, memperoleh gol kedua pada minit ke-34 apabila Lee Jung Seon yang tidak dikawal kemas melakukan rembatan terus bola ke bahagian atas gawang negara.

Ketinggalan dua gol bagaimanapun tidak menjejaskan rentak permainan skuad negara yang menggandakan serangan di babak kedua.

Malaysia kembali mendekatkan jurang apabila Chua Boon Huat pantas merembat masuk bola hantaran pukulan sudut penalti keenam negara oleh K. Keevan Raj pada minit ke-52.

Enam minit selepas itu, Malaysia yang melakukan serangan balas, dihadiahkan pukulan penalti strok oleh pengadil, Gerald Curran akibat kesilapan pertahanan Korea Selatan.

Chua yang mengambil pukulan itu tidak teragak-agak untuk menewaskan Myung Ho sekali lagi bagi mengikat kedudukan 2-2.

Kedudukan seri itu sekali gus mencerahkan peluang Malaysia ke separuh akhir dan terpaksa memastikan kemenangan besar ke atas Singapura pada perlawanan hari ini.

''Saya tidak kisah beraksi di posisi pertahanan mahupun serangan. Saya bertindak untuk turut memikul tugas penyerang selepas mendapati jentera serangan kurang berkesan berbanding pertahanan,'' ujar Chua.

Sementara itu, China mencatat kemenangan pertama apabila membelasah Uzbekistan 11-1 pada perlawanan kumpulan B.

Song Yi muncul penjaring terbanyak perlawanan dengan enam gol pada minit ke-24, 27, 32, 47, 47 dan 63, selepas He Xu membuka tirai jaringan seawal minit keenam permainan.

Yang Guangsen menambah empat gol pada minit ke-11, 22, 42 dan 45, manakala gol tunggal Uzbekistan dijaringkan oleh ketua pasukannya, Ravshanjonzakirov pada minit ke-59

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TSjTcyBd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan