Jumaat, 16 Disember 2016

Hoki: Malaysia capai sasaran

ARKIB : 28/02/2000
PASUKAN-pasukan Asia menguasai empat tempat terbaik pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang tamat kelmarin, tetapi yang penting ialah pasukan negara mencapai sasaran sebelum bersaing pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik bulan depan.

Pasukan negara yang menerima bimbingan Stephen Van Huizen sejak dua tahun lalu menduduki tangga keempat selepas tewas 4-1 kepada India pada persaingan merebut tempat ketiga/keempat kelmarin.

Pakistan muncul juara kejohanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil ini selepas menumbangkan Korea Selatan sekali gus muncul pasukan pertama menyimpan piala tersebut selama dua tahun berturut-turut.

Sementara juara Eropah hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan di tangga kelima, New Zealand keenam dan Kanada di tempat terakhir.

Ketika ini, Stephen sewajarnya sudah mendapat ilham untuk membaiki kelemahan pasukannya sebelum mereka ke pusingan kelayakan Olimpik di Osaka, Jepun dari 9 hingga 20 Mac ini.

Skuad negara memperlihatkan persembahan baik sepanjang kejohanan berlangsung dengan memenangi tiga perlawanan peringkat awal ke atas Kanada (3-1), Jerman ((2-1) dan New Zealand (4-2) untuk mencipta pencapaian terbaik di luar Sukan SEA.

Walaupun masih gagal mengatasi tiga gergasi Asia, tewas kepada kehebatan Pakistan (3-2), India (2-1) dan Korea (5-4), para pemain Malaysia yang dibimbing Stephen Van Huizen telah memperlihatkan kematangan permainan yang kini mirip kepada corak permainan Eropah.

Skuad negara kini mempunyai semua ramuan yang perlu ada dalam era hoki moden iaitu kemahiran individu, kepantasan, kawalan bola dan mengawasi kedudukan masing-masing.

Para pemain telah memperlihatkan mereka mampu menyerang dan bertahan secara berpasukan tanpa membahagi-bahagikan tugas mengikut bahagian.

Kemampuan skuad negara bermain cemerlang sebenarnya wajar dikongsi bersama oleh jurulatih Jerman, Paul Lissek.

Sebabnya, Lissek dan bekas jurulatih kebangsaan, Volker Knapp adalah orang yang bertanggungjawab menerapkan gaya permainan ala Jerman kepada skuad negara dan Stephen mudah meneruskan sistem tersebut kerana pernah menjadi penolong kepada kedua-dua jurulatih tersebut.

Barisan pemain negara yang kebanyakannya berada di bawah usia 25 tahun juga menjadi faktor yang memudahkan skuad negara menyerap sistem Eropah.

Kecuali Mirnawan Nawawi, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, Maninderjit Singh, Chairil Anwar Aziz dan Calvin Fernandez, 13 pemain lain adalah terdiri daripada pemain muda.

Bagaimanapun, ketiadaan Mirnawan pada kejohanan kali ini ternyata memberi kesan kepada bahagian serangan apabila banyak peluang gagal disempurnakan.

Mirnawan tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan betis selepas perlawanan persahabatan menentang Kanada pada 16 Februari.

''Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian kita pada kejohanan ini,'' kata Stephen.

''Para pemain telah menunjukkan mutu permainan tinggi dan pencapaian kita di sini akan menjadi pembakar semangat apabila kita berada di Osaka nanti,'' tambahnya yang turut lega kerana beberapa pemain yang mengalami kecederaan sebelum dan ketika kejohanan mampu pulih sebelum mereka bertolak ke Jepun pada 3 Mac.

Pada kejohanan bermula 19 hingga 26 Mac itu, Stephen juga tidak dapat menurunkan penjaga gol nombor satu, Roslan Jamaluddin yang cedera.

''Pemain lain yang tercedera pada kejohanan ini, iaitu Nor Saiful dan Nor Azlan Bakar juga mampu pulih dan cergas sepenuhnya untuk pusingan kelayakan Olimpik,'' jelasnya.

Nor Saiful mengalami kecederaan bahu kiri ketika bermain menentang Korea sementara Nor Azlan tercedera ketika bertemu India setelah dadanya terkena bola.

Sementara itu, skuad negara juga buat kali kedua berturut-turut berjaya menghasilkan Pemain Harapan menerusi Suhaimi Ibrahim.

Suhaimi yang mengambil posisi penyerang utama menggantikan Mirnawan, cemerlang dengan lima jaringan gol termasuk mencipta hatrik ketika menewaskan Kanada.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SzGTpGb0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan