Khamis, 15 Disember 2016

India belasah Malaysia 4-1

ARKIB : 27/02/2000
INDIA membuktikan pengalaman para pemainnya menjadi aset utama apabila memusnahkan impian Malaysia dengan kemenangan 4-1 sekali gus merebut tempat ketiga pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Mereka juga membongkar kelemahan bahagian tengah pasukan negara yang kehilangan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akibat cedera di bahu kiri ketika menentang Korea Selatan.

Corak permainan India juga tidak terjejas walaupun permainan babak kedua terpaksa dihentikan kira-kira 15 minit sebelum perlawanan berakhir.

Begitupun, skuad negara yang turun dengan harapan membalas dendam kekalahan 2-1 kepada gergasi Asia itu pada pusingan awal masih mampu mempamerkan corak permainan membanggakan dengan serangan kemas sebaik permainan bermula.

Usaha anak-anak buah Stephen Van Huizen membuahkan hasil apabila S. Kuhan mudah menewaskan penjaga gol lawan, Jude Menezes menerusi pukulan sudut penalti minit ketiga untuk mengumpul gol keenamnya sepanjang kejohanan ini.

Bagaimanapun, ketika kira-kira 10,000 penonton tempatan masih asyik meraikan jaringan tersebut, India mematikan seketika sorakan gamat mereka apabila memperoleh pukulan penalti strok,tiga minit kemudian.

Baljit Singh Dillon yang mengambil pukulan hampir kecewa apabila tolakannya menyapa palang gol sebelum bola melantun masuk untuk menewaskan Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim.

Di sebalik tekanan hebat pasukan tuan rumah, India masih mampu melihat ruang untuk melakukan serangan balas pantas dan pada minit ke-16, penyerang berpengalaman, Dhanaraj, 32, menolak masuk gol kedua psukan itu selepas menerima hantaran Jegan Senthil dari sebelah kanan.

Kedua-dua meneruskan permainan bertenaga yang memperlihatkan kemahiran individu serta larian pantas namun kedudukan 2-1 kekal itu sehingga tamat babak pertama.

Sebaik perlawanan disambung, jentera pertahanan Malaysia pula kehilangan Nor Azlan Bakar pada minit ke-42 apabila pukulan sudut penalti Baljit mengenai dadanya, sekali gus memudahkan asakan lawan.

Walaupun bertahan dengan segenap tenaga, namun gawang Malaysia bocor buat kali ketiga pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti Dilip Tirkey.

Ketika India terus bersemangat dengan asakan garang, Malaysia diselamatkan buat seketika oleh hujan lebat yang memaksa perlawanan dihentikan pada minit ke-55.

Selepas menyaksikan dua serangan menerusi Dhanaraj pada minit ke-64 dan 65 tidak berjaya, Baljit menceriakan penyokong India dengan gol keempat dan terakhir perlawanan.

Sementara itu, Jerman meraih tempat kelima selepas menewaskan Kanada 3-2 pada perlawanan sebelah pagi yang terpaksa ditentukan pada masa tambahan.

MALAYSIA: Maninderjit Singh, Chua Boon Huat, K. Gobinathan, S. Kuhan, Nor Azlan Bakar, Chairil Anwar Aziz, Suhaimi Ibrahim, K. Keevan Raj, Calvin Fernandez, Shaiful Azli Abd. Rahman, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim.

INDIA: Dilip Tirkey, Dinesh Nayak, Mohamed Riaz, Baljit Singh Saini, Ramandeep Singh, DhanarajPillay, Baljit Singh Dillon, Jude Menezes, Deepak Thakur, Thrimulavalavan, Jegan Senthil.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Sz4SEm65 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan