Isnin, 19 Disember 2016

Jaringan Nor Azlan bantu remaja mara


 

ARKIB : 20/04/2000
Jaringan Nor Azlan bantu remaja mara
PEMAIN Pulau Pinang, Mohd. Asri Mat Sani (kiri) cuba menyekat pemain Melaka, Nor Azmi Abu Samah pada perlawanan kumpulan B hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Pulau Pinang menang 1-0. - Gambar ASWAD YAHYA

JARINGAN Nor Azlan Rahim pada minit ke-31 memastikan Pasukan Remaja Kebangsaan (PRK) mara ke separuh akhir selepas seri 1-1 dengan Perak dalam perlawanan kumpulan A hoki Piala Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

Skuad remaja yang mempamer aksi kurang bertenaga dikejutkan dengan jaringan awal oleh penyerang Perak, Azlan Misron pada minit ke-21.

Azlan yang tidak dikawal kemas bijak melorongkan bola untuk menewaskan penjaga gol, Saiful Azhar dan menyaksikan skuad remaja terpaksa berhempas pulas mencari gol penyamaan.

Sebaliknya, Perak yang kecundang 0-1 kepada Selangor kelmarin, cuba menggandakan asakan, namun kelalaian barisan pertahanan membuka ruang buat Nor Azlan melakukan jaringan.

Nor Azlan yang menerima hantaran silang, mudah menolak masuk bola pada minit ke-31 untuk menewaskan penjaga gol Perak, Khairil Anwar Rozlan dan memastikan pasukan itu ke separuh akhir.

Skuad remaja kini mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan, di belakang Kuala Lumpur yang mengumpul sembilan mata penuh selepas menyelesaikan tiga pertemuan.

Mereka sebelum ini mengalahkan Selangor 5-1, diikuti kemenangan lima gol tanpa balas ke atas Pahang.

Kuala Lumpur yang membariskan pemain dan bekas pemain kebangsaan muncul pasukan pertama ke separuh akhir kelmarin selepas memenangi kesemua tiga perlawanan awal mereka.

Skuad ibu kota itu sebelum ini membelasah Selangor 10-3, mengatasi Perak 8-3, mengetepikan Pahang 6-1 dan akan turun menentang pasukan Remaja Kebangsaan hari ini.

Pertemuan antara skuad senior yang mewakili Kuala Lumpur dan pasukan junior ini dijangka menarik bagi menguji sejauh mana keupayaan sebenar anak buah Yahya Atan menjelang hoki Piala Remaja Asia, yang akan berlangsung bulan depan.

Skuad remaja sebelum ini sering dikecewakan olah barisan senior dalam beberapa perlawanan persahabatan yang diadakan.

Sementara itu, dalam perlawanan kumpulan B, Pulau Pinang menamatkan cabaran peringkat kumpulan dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka.

Keputusan itu sekali gus membuka ruang buat dua pasukan di tangga teratas kumpulan yang tidak beraksi semalam iaitu Johor dan Tentera untuk mara ke separuh akhir.

Jaringan tunggal Pulau Pinang dirembat masuk oleh Shaikh Muhammad Salim pada minit ke-10 yang menyekat impian lawannya itu untuk mara ke separuh akhir.

Melaka kini mengumpul tiga mata di tangga keempat selepas mengharungi tiga perlawanan dengan berbaki satu perlawanan menentang Tentera, hari ini.

Johor di tangga teratas kumpulan B dengan tujuh mata hasil kemenangan ke atas Pulau Pinang 2-0, membelasah Melaka 8-0 dan seri 2-2 dengan pasukan Tentera.

Tentera juga mengutip tujuh mata selepas mengalahkan Terengganu 6-2, mengalahkan Pulau Pinang 2-0 dan seri 2-2 dengan Johor.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4THe36WJK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan