Selasa, 20 Disember 2016

Kita belasah Taiwan 12-0


 

ARKIB : 05/05/2000
PEMAIN Malaysia, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor (kanan) cuba mengelakkan pukulan pemain Taiwan, Ching Yen-Yuan pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam. Malaysia menang besar 12-0. - Gambar AHMAD ZAKKI JILAN

MALAYSIA membuka tirai cabaran penuh bergaya apabila membelasah Taiwan 12-0 pada perlawanan kumpulan A Kejohanan Hoki Lelaki Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad remaja negara yang menguasai permainan memperoleh jaringan pertama seawal minit kelima permainan menerusi Norazlan Rahim yang menyempurnakan pukulan bebas oleh Chua Boon Huat.

Begitupun, Malaysia terpaksa menunggu 16 minit untuk mendapatkan gol kedua selepas lima serangan yang dilancarkan gagal menemui sentuhan penyudah.

Pada minit ke-20, skuad remaja negara terus mendahului lawan dengan gol kedua apabila Mohd. Fairuz Ramli menyumbat masuk bola pantulan hasil pukulan sudut penalti.

Dua jaringan oleh M. Jiwa pada minit ke-26 dan 34 memastikan Malaysia mendahului 4-0 pada babak pertama, sebelum meneruskan aksi cemerlang selepas rehat.

Pada minit ke-41, barisan serangan negara memperoleh gol kelima menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Chua Boon Huat, sebelum gol keenam menyusul hasil rembatan penyerang kebangsaan, Suhaimi Ibrahim.

Taiwan yang cuba bangkit daripada kekalahan 13-1 kepada Korea Selatan kelmarin bagaimana gagal dalam usaha mendekatkan jurang hasil kekentalan jentera serangan Malaysia.

Sebaliknya, skuad negara terus berpesta gol dengan dua lagi jaringan Jiwa pada minit ke-46 dan 49, sebelum pemain gantian, Muhammad Amin Rahim menyumbat dua gol lagi pada minit ke-50 dan 53 untuk menjadikan kedudukan 10-0.

Gol ke-11 Malaysia disumbat masuk oleh K. Logan Raj pada minit ke-65 sebelum Boon Huat melengkapkan kemenangan besar hasil jaringan keduanya dalam perlawanan ini pada minit ke-67.

Jurulatih negara, Yahya Atan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan mengharapkan aksi terbaik itu diteruskan pada perlawanan kedua menentang Korea Selatan, Ahad ini.

''Para pemain telah mencuba sedaya upaya mereka, tetapi jentera serangan beberapa kali gagal menemui sentuhan untuk melakukan lebih jaringan di babak pertama.

''Kita akan rehat dua hari sebelum bertemu Korea Selatan dan barisan serangan akan digilapkan lagi. Saya harap pemain akan memberi aksi lebih baik pada pertemuan itu nanti,'' katanya.

Jurulatih Taiwan, Tsai Yi-Ming yang kecewa dengan kekalahan kedua pasukan itu bagaimanapun tetap berharap pertemuan berikutnya menentang Pakistan akan mengubah nasib mereka.

''Kita kalah dengan jaringan besar kepada Malaysia, tetapi prestasi pemain agak meningkat berbanding semalam (kelmarin).

''Pada saya, Malaysia dan Korea Selatan sama hebat, tetapi kami akan mencuba yang terbaik pada kejohanan ini,'' katanya.

Oleh: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4TSI3xpit © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan