Jumaat, 16 Disember 2016

Kita mesti menang 2 perlawanan

ARKIB : 04/03/2000
 
BARISAN pemain dan pegawai hoki kebangsaan melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' selepas majlis menandatangani perjanjian antara PHM dengan penaja, Adidas di MSN, Bukit Jalil, semalam. Skuad negara berlepas ke Osaka, Jepun semalam untuk kelayakan Olimpik Sydney 9-20 Mac. - Gambar AZLI AHAD

MALAYSIA perlu meraih kemenangan dalam dua perlawanan pertama mereka pada pusingan kelayakan Hoki Sukan Olimpik di Osaka, Jepun yang bermula minggu depan sebagai pembakar semangat pasukan.

Ketua jurulatih kebangsaan, Stephen Van Huizen berkata, kemenangan ke atas Sepanyol pada 9 Mac ini dan Belarus pada hari berikutnya amat penting kerana ia mampu menentukan kedudukan pasukan negara dalam kelayakan itu.

''Keputusan perlawanan pertama biasanya mampu menentukan arah tuju sesebuah pasukan dalam sesuatu kejohanan.

''Kita tahu bukan mudah mengatasi Sepanyol tetapi kita akan berusaha sedaya upaya untuk mencari kemenangan,'' katanya.

Sepanyol, naib juara Sukan Olimpik Atlanta 1996 dan naib juara Piala Dunia 1998 di Utrecht, Belanda, merupakan pasukan yang dianggap Stephen amat sukar diatasi.

Kali terakhir skuad negara bertemu Sepanyol ialah pada Piala Dunia di Utrecht itu di peringkat kumpulan. Malaysia kalah 3-0 dalam pertemuan itu.

Menurut Stephen, biarpun atas kertas Sepanyol memiliki kelebihan berbanding skuad negara, semangat semua anak buahnya yang ketika ini begitu ghairah untuk mencatat kejayaan di Osaka, dijangka mampu mengatasi skuad Eropah itu.

''Sepanyol memiliki budaya permainan berbeza. Kita tahu cara permainan mereka yang biasanya akan bertahan sedaya mungkin jika lebih dulu memperoleh gol,'' katanya.

Begitu pun, jurulatih itu berkata jika skuad negara tewas pada dua perlawanan pertama itu, tidak bermakna Malaysia akan terus tersingkir daripada kejohanan.

''Kita tetap ada peluang... cuma kita perlu hati-hati dengan pasukan lain yang kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka,'' katanya.

Stephen berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dengan Adidas (M) Sdn. Bhd. di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Adidas menaja pasukan kebangsaan untuk tempoh tiga tahun dari 1999-2001 dengan jumlah penajaan RM150,000 setahun.

PHM diwakili Timbalan Presiden, Datuk Seri P. Alagendra dan Udo Eimer mewakili Adidas. Ia disaksikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad.
Pada majlis itu juga, empat pemain kebangsaan menerima anugerah daripada PHM atas khidmat mereka di peringkat antarabangsa melebihi 100 kali.

Mereka ialah Maninderjit Singh dengan 160 kemunculan, M. Kaliswaran (130), Kelvin Fernandez (108) dan Nor Azlan Bakar (104).

Selain Sepanyol dan Malaysia, pasukan lain dalam kumpulan B kelayakan pada 9-20 Mac itu ialah Pakistan, Argentina, Belarus dan Switzerland.

Skuad negara berlepas ke Osaka semalam dan sebelum kelayakan bermula, Malaysia dijangka mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Britain pada Ahad dan Poland dua hari berikutnya.

Oleh: JOHARI SHAWAL
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T0IvePWz

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan