Khamis, 15 Disember 2016

Laluan kita ke akhir semakin sukar

ARKIB : 23/02/2000
HUJAN yang mula turun sewaktu perlawanan antara Malaysia dengan India hampir dimulakan seolah-olah menjadi petanda awal kegagalan negara pasukan mengulangi pencapaian mereka sewaktu menewaskan juara Asia itu pada Sukan Komanwel 1998.

Kekalahan 2-1 kepada India pada hari ketujuh kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam sekali gus memberikan tiket ke perlawanan akhir kepada pendahulu kedudukan, Korea Selatan yang sebelum itu menewaskan Kanada 2-1.

Walaupun anak-anak buah Stephen Van Huizen lebih awal membuka tirai jaringan, menerima satu pukulan penalti stroke dan menguasai 15 minit terakhir permainan, namun yang nyata, nasib tidak menyebelahi mereka.

Kekalahan kepada India - yang kedua selepas tunduk 3-2 kepada Paksitan kelmarin juga menyempitkan peluang skuad negara untuk mara ke perlawanan akhir.

Malaysia yang mengumpul sembilan mata masih mempunyai baki satu perlawanan iaitu menentang Korea Selatan Khamis ini dan terpaksa berharap Pakistan tewas pada dua baki perlawanan mereka iaitu dengan Jerman dan Kanada - sesuatu yang dilihat mustahil berlaku memandangkan persembahan juara tahun lalu itu yang semakin mantap.

Begitu pun, semangat juang mereka patut menerima pujian dan kira-kira 10,000 penonton yang memenuhi stadium memberikan tepukan gemuruh kepada skuad negara selepas perlawanan tamat.

Penjaring hatrik tunggal setakat ini, Suhaimi Ibrahim menghangatkan suasana stadium apabila meletakkan Malaysia di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-11 hasil hantaran Shaiful Azli Abd. Rahman.

Namun jaringan Baljit Singh Dillon menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19 sebelum pemain sayap kiri, Deepak Thakur yang dibiarkan bersendirian di depan gawang gol menjaringkan gol kemenangan India pada minit ke-32.

Malaysia mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila diberikan penalti stroke pada minit ke-50 selepas Suhaimi dikasari di dalam kawasan D.

Bagaimanapun, penjaga gol India, R.V Prasad berjaya membaca dengan baik tolakan kencang yang dilakukan pemain pertahanan, S. Kuhan yang menjadi wira dengan dua gol ketika menumpaskan Jerman Khamis lalu.

''Saya agak kecewa dengan kekalahan ini kerana kita mempunyai peluang menyamakan kedudukan tetapi gagal melakukannya,'' kata jurulatih negara, Stephen selepas perlawanan.

Menurut beliau, para pemainnya agak tertekan terutama penyerang, M. Kaliswaran yang sering kali hilang kawalan bola.

Menurut beliau, pasukannya bermain dengan lebih baik pada separuh masa kedua tetapi semua percubaan mereka gagal menepati sasaran.

''Kita tidak berhak memenangi perlawanan ini. Apabila kamu mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol dan diberikan pukulan penalti stroke tetapi gagal disempurnakan, kamu tidak berhak mendapat mata penuh,'' jelasnya.

Mengenai tindakannya menurunkan Izuan Suhardi Selamat sebagai penjaga gol, Stephen berkata, pemain itu wajar diberikan pendedahan terutama dalam kejohanan seperti ini.

''Secara keseluruhan, para pemain muda telah berusaha keras tetapi kekurangan pengalaman. Bagaimanapun saya yakin mereka akan meningkat di Osaka nanti,'' ujarnya.

Sementara itu jurulatih India, V. Baskaran kelihatan lega dengan kemenangan itu setelah menyaksikan pasukannya diasak hebat sepanjang separuh masa kedua.

''Ia adalah perlawanan yang hebat dan para pemain kami berjaya menguasainya kerana bijak menjaga kedudukan masing-masing,'' jelasnya.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SxFjZcpp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan