Isnin, 12 Disember 2016

Malaysia berpesta gol

ARKIB : 20/11/1999
NOR Saiful Zaini Nasiruddin membuktikan sentuhannya masih berbisa walaupun baru kembali daripada persaraan dengan membantu Malaysia membelasah Hong Kong 8-1 pada perlawanan kumpulan B Hoki Piala Asia Kelima, semalam.

Dua rembatan deras Saiful menerusi sudut penalti menjadi antara penyumbang pesta gol Malaysia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.

Aksi cemerlang penyerang veteran ini turut disusuli oleh dua jaringan Mirnawan Nawawi selain masing-masing satu daripada Suhairi Saidi, S. Kuhan, K. Keevan Raj dan K. Gobinathan.

Ini merupakan aksi sulung Saiful sejak mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa selepas Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Malaysia bagaimanapun perlu menunggu hingga minit ke-14 untuk membocori gawang Hong Kong. Tiga lawan terpukau dengan gerak kayu M. Jiwa Mohan sebelum mengumpan kepada Suhairi yang merembat masuk.

Sudut penalti kelima Malaysia muncul mendatangkan gol kedua. Seperti lazimnya, sungkitan deras Kuhan ternyata sukar ditepis sesiapa termasuklah penjaga gol Hong Kong, Chak Tung Cheung pada minit ke-25.

Lapan minit kemudian, pukulan kilas Mirnawan pula menepati sasaran selepas memanfaatkan umpanan terus Chua Boon Huat. Malaysia mara 3-0 sehingga semboyan berbunyi menamatkan babak pertama.

Baru dua minit babak kedua bersambung, Chak tertewas lagi dan kali ini giliran rembatan terus Keevan mencipta gol keempat Malaysia itu.

Malaysia kian ganas mendera lawan menerusi Saiful yang membawa gol kelima. Tanpa sedikit pun 'kekaratan' akibat persaraan, rembatan kencangnya melepasi Chak pada minit ke-51.

Gobinathan yang menggantikan Zam Zam Ali, menyertai senarai penjaring, sembilan minit kemudian apabila rembatan kilasnya pula menggegar gawang Hong Kong untuk gol keenam negara.

Minit ke-65 merakamkan jaringan ketujuh Malaysia menerusi sungkitan Mirnawan sebelum Saiful mengakhiri pesta gol dengan rembatan sudut penalti kesembilan skuad negara.

Hong Kong meraih gol tunggal hasil jaringan sudut penalti oleh ketua pasukannya, Farooq Saeed pada minit ke-68.

''Biarpun kita bermula agak perlahan, kemenangan ini dianggap satu permulaan baik Malaysia. Pemain kita gementar ketika itu tetapi mujur ini dapat diatasi.

''Zam Zam tampak membuat kesilapan asas. Jurangnya dengan pemain lain ketara. Mungkin kerana selepas empat tahun tidak bermain pada peringkat antarabangsa,'' kata ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen.

Menurut Stephen, menentang India hari ini menjadi cabaran getir buat Malaysia walaupun lawan menurunkan barisan yang berbeza daripada Sukan Komanwel lalu.

''Tidak boleh menentang India dengan corak terbuka. Ia pasti menempah bahaya,'' katanya. Malaysia menumbangkan India, bekas gergasi hoki dunia 1-0 pada separuh akhir Sukan Komanwel.

Juara bertahan, Korea Selatan seperti dijangka dengan mudah membenam Bangladesh 4-0 dalam perlawanan kumpulan A menerusi jaringan Seong Hwan Ji, Jung Chul Kim, Jong Hyung Hwang dan Keon Wook Kang.

Sementara itu, bekas juara dunia, Pakistan turut berkenduri gol apabila meratah Sri Lanka 15-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan tersebut.

Tujuh gol dicipta oleh Sohail Abbas selain hatrik daripada Atif Basher di samping Neveed Iqball (dua).

Tiga lagi gol, masing-masing menerusi Sarwar Mohammad, Kashif Jawed dan Ali Raza.

Pakistan kini jauh mendahului kumpulan sambil memintas Korea dan China, dengan kelebihan jaringan.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ShP1supl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan