Selasa, 13 Disember 2016

Malaysia bertemu India di Hoki Piala Asia Kelima


ARKIB : 28/11/1999
MEMENANGI perlawanan penentuan tempat ketiga dengan India hari ini pasti menjadi penawar paling mujarab Malaysia sesudah hampa pada separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Asia Kelima.

Tiada hadiah lebih bernilai buat ribuan penyokong negara yang bertungkus-lumus menggamatkan Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin, melainkan dengan meraih kemenangan pada kali ini.

Di gelanggang yang sama, Malaysia menumbangkan bekas gergasi dunia itu 1-0 pada separuh akhir Sukan Komanwel tahun lalu dan tanda-tanda mengulanginya tampak ketara dalam tempoh terdekat ini.

Ia hampir berjaya ditunaikan ketika perlawanan peringkat kumpulan B, minggu lalu sebelum cuma pengalaman dan kemahiran pemain India sempat menyekat tuan rumah.

Bagi ketua jurulatih negara, Stephen van Huizen, perlawanan penentuan tempat ketiga masih turut dianggap sama pentingnya dengan perlawanan separuh akhir atau akhir.

Kekalahan 2-3 kepada Pakistan sudah tersimpan dalam lipatan sejarah, tetapi Stephen dan anak buahnya kini pasti turun dengan tekad baru _ memperbaiki pencapaian Malaysia selepas empat edisi Piala Asia.

Malaysia kecundang dalam separuh akhir kejohanan 1993 sebelum India memaksanya untuk cuma berpuas hati di tempat keempat.

Bagaimanapun, jika persembahan 35 minit pertama ketika seri 1-1, diulangi dan diperbaiki sedikit, tidak mustahil nasib skuad negara turut berubah.

Statistik pertemuan 20 November lalu membuktikan betapa Malaysia mempunyai kelebihan dalam kadar penyudahan sudut penalti dengan ketepatan yang mencapai 20 peratus berbanding lawan, 16.7 peratus.

Sehingga kini, pakar sudut penalti negara, S. Kuhan semakin menyerlah dengan tugas utamanya itu apabila menyertai antara 10 penjaring terbanyak kejohanan.

Malah selain empat jaringannya, Kuhan sendiri turut mantap ketika membantu barisan pertahanan _ sesuatu yang mampu menyekat corak pantas jentera serangan India, diketuai oleh Dhanaraj Pillay.

Sementara itu, jurulatih Pakistan, Shahnaz Sheikh bakal menggunakan kembali khidmat penjaring terbanyak, Sohail Abbas pada perlawanan akhir menentang Korea Selatan, hari ini.

''Dia masih terasa sakit pada pahanya, tetapi doktor pasukan kami mengatakan dia sudah OK dan mampu diturunkan,'' kata Shahnaz pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam.

''Apa pun, kami tidak sekadar bergantung kepadanya kerana memiliki seorang lagi pemain yang bertindak selaku pembantu kiranya sentuhan Sohail tidak menjadi,'' katanya lagi sambil merahsiakan identiti pemain itu.

Pakistan menghampakan Korea 3-1 untuk bergelar juara Piala Sultan Azlan Shah Kesembilan di Kuala Lumpur, April lalu, tetapi kecundang kepada lawan, 2-3 ketika separuh akhir Sukan Asia XIII di Bangkok, tahun lalu.

Anak buah Shahnaz ini cuma menang tipis 1-0 ke atas Korea dalam perlawanan peringkat kumpulan A Piala Asia, Rabu lalu.

''Saya rasa kesudahan perlawanan ini bukan terletak pada kemahiran individu semata-mata. Segalanya pasti berbeza daripada pertemuan terdahulu.

''Kami mahu membuktikan bahawa Korea mampu mengubahsuai strategi apabila perlu untuk memenangi kejuaraan,'' kata jurulatih Korea, Kim Sang Ryul.

Korea bagaimanapun mengalami kesulitan apabila terpaksa melupakan tiga tonggaknya, Yeo Woon Kon, Lim Jung Woo dan Jeon Jong Ha akibat masalah kecederaan.

''Kami tidak mahu menanggung risiko jika tetap menurunkannya. Kelayakan Sukan Olimpik di Osaka lebih memerlukan aksi mereka, Mac nanti,'' kata Kim.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ShpWkcFs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan