Sabtu, 17 Disember 2016

Malaysia catat keputusan terburuk

ARKIB : 10/03/2000
 
TIGA pemain negara, penjaga gol Roslan Jamaluddin, Calvin Fernandez dan Maninderjit Singh terpegun dengan gol ketujuh jaringan pemain Sepanyol Pep Sanchez (tidak kelihatan) pada pusingan kelayakan hoki Olimpik di Stadium Nagai, Osaka semalam. Malaysia tewas 7-1. - Gambar The Star.

OSAKA, Jepun - Malaysia mencatat keputusan terburuk apabila dibelasah teruk 7-1 oleh Sepanyol pada perlawanan pembukaan kumpulan B hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, semalam.

Sepanyol membuka tirai jaringan menerusi pukulan panalti strok yang disempurnakan oleh Jan Dinares pada minit ke-12, tetapi skuad negara berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan, tiga minit selepas itu.

Begitupun, kesilapan barisan pertahanan mengawal baik bola menyaksikan Sepanyol mudah menghasilkan gol kedua pada minit ke-21 menerusi jaringan padang oleh pemain gantian, Eduard Tubau.

Jaringan kedua itu menyaksikan barisan negara seolah-olah hilang tumpuan, sekali gus membuka ruang buat Sepanyol menggunakan kesempatan untuk menambah dua lagi jaringan sebelum tamat babak pertama.

Xavi Ribas menjaringkan gol ketiga lawan pada minit ke-29 sebelum Pol Amat menjadikan kedudukan 4-1 selepas menguis masuk hantaran pemain gantian, Rodrigo Garza, tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Pada babak kedua, Malaysia cuba menggandakan serangan dalam usaha memburu gol, tetapi gagal memecahkan kebuntuan akibat kekentalan jentera pertahanan Sepanyol.

Sebaliknya, serangan balas yang dilakukan Sepanyol nyata membuahkan hasil apabila berjaya membolosi gawang negara buat kali kelima selepas Ribas menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

Asakan bertubi-tubi lawan ke kubu Malaysia nyata sukar disekat dan gandingan, Pep Sanchez dan Amat bijak menggunakan ruang pada minit ke-43.

Sanchez yang tidak dikawal kemas melorongkan bola kepada Amat yang merembat masuk gol keenam pasukannya, sebelum Sanchez melengkapkan kemenangan 7-1 buat Sepanyol, seminit kemudian.

Ini adalah kekalahan terburuk skuad negara sejak tumpas kepada pasukan gergasi Eropah itu 3-0 pada kelayakan Piala Dunia 1998.

Daripada: SAADON JAAFAR

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6JEvJmI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan