Sabtu, 17 Disember 2016

Malaysia ikat Poland 1-1 dalam cuaca sejuk

ARKIB : 07/03/2000
OSAKA, Jepun - Beraksi dalam cuaca sejuk tidak menghalang skuad Malaysia untuk mencatat keputusan seri 1-1 dengan Poland pada perlawanan persahabatan menjelang kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, di sini, semalam.

Kedua-dua pasukan mempamerkan reputasi terbaik pada pertemuan persahabatan pertama kelmarin yang menyaksikan Malaysia menumpaskan Britian 2-0 dan Poland seri 2-2 dengan Pakistan, juara Piala Sultan Azlan Shah, cuba mengasak sebaik perlawanan bermula.

Begitupun, asakan yang dilakukan gagal membuahkan hasil, sekali gus menyaksikan anak buah Stephen van Huizen terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 0-0 pada babak pertama.

Pada babak kedua, Poland mula menunjukkan kegarangannya untuk mendahului tetapi Malaysia bingkas bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyerang berbisa, Mirnawan Nawawi.

Pertemuan persahabatan kedua ini menambah keyakinan buat skuad negara selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Britain menerusi pukulan sudut penalti oleh S. Kuhan pada babak pertama, diikuti gol kedua oleh Chairil Anwar Abdul Aziz pada babak kedua permainan.

Pengurus skuad negara, R. Yogeswaran berkata, barisan negara tampak semakin bersedia menghadapi cabaran sebenar bagi perlawanan pembukaan kelayakan menentang Sepanyol yang dijadualkan Khamis ini.

''Pemain negara tidak menghadapi sebarang masalah buat masa ini dan saya gembira kerana tiada yang mengalami kecederaan.

''Pemain juga sudah mula menyesuaikan diri dengan suasana dan cuaca di sini. Kita akan meneruskan sesi latihan esok (hari ini) walau pun tiada perlawanan persahabatan lain,'' ujarnya.

Menyentuh soal makanan, Yogeswaran berkata, barisan negara juga tidak berdepan masalah kerana mereka membawa bersama bekalan dari Malaysia dan memasak sendiri makanan tersebut.

''Kami membawa makanan dan memasaknya sendiri. Saya rasa kami semakin serasi di sini. Saya juga rasa kita kini sudah bersedia untuk menentang Sepanyol dan sedar cabaran getir yang bakal dihadapi,'' ulas Yogeswaran.

Dalam saingan kelayakan di Osaka ini, Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama Argentina, Belarus, Pakistan, Sepanyol dan Switzerland.

Selepas memulakan kempen menentang Sepanyol Khamis ini, pasukan negara akan bertemu Belarus pada hari berikutnya. - Utusan

Daripada: SAADON JAAFAR

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4T5bXfX7t © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan