Khamis, 15 Disember 2016

Malaysia kalah berjuang

ARKIB : 25/02/2000
PEMAIN Kanada, Andrew Griffiths (kiri) merembat masuk bola tepat ke gawang untuk gol tunggal pasukan itu, sekali gus menewaskan penjaga gol Pakistan, Ahmed Alam pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Pakistan menang 2-1. - Gambar IZHAM JAAFAR

MALAYSIA gagal menyekat penguasaan Korea Selatan yang meraikan kemenangan tipis 5-4, sekali gus mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kekalahan ini adalah yang ketiga buat skuad negara selepas ditewaskan Pakistan 3-2 dan India 2-1. Malaysia akan beraksi dalam perlawanan terakhir menentukan tempat ketiga, Sabtu ini.

Pada perlawanan semalam, Korea yang melancarkan serangan pantas hampir memperoleh gol awal pada minit keempat permainan hasil hantaran Yeo Woon Kon kepada Hwang Jong Hyun yang kemudian menguis bola tepat ke arah Song Seung Tae, tetapi rembatan rakan sepasukannya itu melewati palang gol.

Begitupun, hasrat pasukan lawan untuk mendahului permainan berhasil selepas Woon Kon menolak masuk gol pertama Korea Selatan pada minit ke-11.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat anak buah Stephen van Huizen apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-19 menerusi pukulan sudut penalti pertama untuk Malaysia.

K. Keevan Raj yang mengambil pukulan itu melurukan bola dan ditampan dengan baik oleh Nor Azlan Bakar sebelum dirembat masuk oleh S. Kuhan.

Tiga minit selepas itu, Kuhan memperoleh jaringan kedua Malaysia apabila menolak masuk bola pukulan sudut penalti yang melantun ke dalam selepas ditampan oleh penjaga gol Korea Selatan, Kim Yoon.

Kelekaan barisan pertahanan Malaysia membawa padah apabila percubaan keras untuk menyekat serangan balas lawan di depan pintu gol menyaksikan Korea Selatan diberikan pukulan penalti strok oleh pengadil pada minit ke- 25.

Jeon Jong Ha mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2.

Malaysia dihukum lagi pada minit ke-33 akibat kesilapan Keevan gagal menampan kemas bola yang mudah dirampas Seung Tae sebelum membuat hantaran kepada Woon Kon untuk menolak masuk gol ketiga Korea.

Usaha yang dilakukan barisan pertahanan Malaysia gagal membuahkan hasil, sekali gus menyaksikan Korea Selatan terus mendahului 3-2 sehingga tamat babak pertama.

Malaysia bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua apabila hantaran Keevan dikuis M. Kaliswaran kepada Chairil yang merembat masuk gol ketiga pada minit ke-47.

Korea Selatan menjadikan kedudukan 4-3 menerusi jaringan ketua pasukannya, Kang Keon Wook pada minit ke-50, sebelum Chairil menjaringkan gol terakhir negara, lima minit kemudian.

Impian Malaysia untuk mencatat keputusan seri lebur apabila Woon Kon menyumbat masuk gol kemenangan Korea Selatan, dua minit sebelum tamat permainan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SxIBY5X4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan