Rabu, 21 Disember 2016

Malaysia kalah tipis kepada China

ARKIB : 07/05/2000
MALAYSIA berjaya menyekat penguasaan sepenuhnya naib juara 1996, China apabila kalah tipis 1-0 pada Kejohanan Hoki Wanita Piala Remaja Asia di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam, lapor DALLIA DUNSTAN.

China memperoleh gol tunggal itu pada minit ke-65 menerusi Mai Shaoyan yang merembat masuk bola hantaran percuma dari kanan pintu gol negara.

Kekalahan tipis itu bagaimanapun tidak begitu meresahkan skuad negara yang baru dibentuk sejak enam minggu lalu.

Jurulatih negara, Siva Subramaniam menyifatkan kekalahan 1-0 di tangan China itu adalah satu ''kejayaan'' pada pertemuan pertama Malaysia.

''Saya amat gembira dengan prestasi keseluruhan anak buah saya yang hanya mula membuat persediaan enam minggu yang lalu,'' katanya.

Siva menganggap aset utama pasukannya adalah semangat yang kental ketika bertemu China dan berharap ia akan diteruskan pada setiap perlawanan.

''Saya berharap mereka akan teruskan semangat ini ketika menentang juara bertahan, Korea Selatan nanti kerana mereka mempunyai corak perlawanan berbeza berbanding China,'' katanya.

Cabaran Malaysia diketuai oleh pemain Sukan SEA Brunei, Nor Saliza Ahmad Soobni mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-67 hasil pukulan sudut penalti, tetapi Ayu Afnida Hamdani gagal menjaringkannya.

China yang menguasai perlawanan itu memperoleh 10 pukulan sudut penalti.

Jurulatih China, Liu Shouzhong mengakui pasukan Malaysia bermain dengan baik dan menepati jangkaannya bahawa Malaysia pasti memberikan tentangan sengit.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Korea membelasah Uzbekistan sembilan gol tanpa balas di stadium yang sama.

Jepun pula berpesta gol apabila menewaskan Taiwan 8-0 ketika membuka cabaran dalam perlawanan kumpulan B manakala India membelasah teruk Thailand 17-0 dalam perlawanan kedua kumpulan itu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4TSaSVTxg © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan