Ahad, 11 Disember 2016

Nor Saiful sedia kembali

ARKIB : 10/11/1999
BEKAS penyerang kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyatakan kesediaannya untuk kembali menyarung jersi negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia ke-5 di Kuala Lumpur mulai 18 November ini.

Saiful, 33, semalam bersetuju untuk menyertai sesi latihan skuad negara mulai hari ini atas permintaan pengurus R. Yogeswaran dan jurulatih pasukan, Stephen van Huizen.

Malah di sebalik usia yang kian mencecah veteran, Saiful masih berjaya membuktikan kemampuannya melepasi ujian kecergasan di balapan Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

''Prestasi Saiful dalam ujian itu menunjukkan dia antara pemain yang paling cergas. Lagipun dia sendiri bersetuju untuk bersama pasukan.

''Kami gembira dengan reaksinya itu. Pengalaman dan kemahiran Saiful masih merupakan satu aset skuad negara,'' kata Yogeswaran selepas latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Saiful bersara dari arena hoki antarabangsa sejurus selepas membantu Malaysia meraih pingat perak Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Sesudah mencipta hampir 300 cap, dia menggantung kayu hokinya kerana mahu menumpukan perhatian kepada pengajian Ijazah Sains Sukan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Sepanjang kariernya bersama Malaysia sejak 1986, Saiful turut pernah menyertai Sukan Olimpik Barcelona 1992 dan Atlanta 1996 di samping Piala Dunia di Utrecht, Mei tahun lalu.

Dia turut memainkan peranan penting dalam membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menduduki tempat ketiga Liga Hoki Malaysia, bulan lalu.

Stephen pula berkata, kehadiran Saiful mampu memberikannya pilihan dalam mencari penyerang pasangan Mirnawan Nawawi.

''Jika Mirnawan kerap dikawal, Saiful boleh memainkan peranan selaku penyerang dan pencari gol. Dia juga masih mahir dalam menyudahkan sudut penalti menerusi rembatan deras,'' katanya.

Apa pun, Stephen tidak dapat menjamin tempat Saiful dalam senarai 18 pemain negara ke Piala Asia kerana dia perlu turun menjalani latihan bersama pelatih lain.

Senarai terakhir pemain negara ke kejohanan itu, bakal diumumkan pada Jumaat ini di Stadium Hoki Nasional.

Mengenai lawan Malaysia dalam kumpulan A, Stephen berkata: ''India masih dalam kelas yang tersendiri dan perlu dihormati biarpun khabarnya dibarisi banyak muka baru.

''Kekuatan Jepun dengan kita pula seimbang. Kita pernah seri ketika Sukan Asia di Bangkok lalu, tetapi tidak banyak yang diketahui tentang Kazakhstan.

''Bagaimanapun pada Sukan Asia Hiroshima 1994, kita tewas kepada Kazakhstan 1-3 dalam peringkat kumpulan sebelum menang 4-1 bagi penentuan tempat kelima,'' katanya lagi.

Satu lagi pasukan dalam kumpulan A ialah Hong Kong, manakala juara Piala Asia 1993, Korea Selatan mengetuai kumpulan B di samping Pakistan, China, Bangladesh dan Sri Lanka.

Ketika ini terdapat kelompok 30 pelatih skuad negara yang dibentuk daripada tonggak berpengalaman dan pemain barisan remaja Projek 2001.

Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SasVr0kd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan