Ahad, 11 Disember 2016

Peluang Malaysia kembali terbuka

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
KHALIQ (kanan) menjaringkan satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Mesir 2-0 pada kempen Piala Dunia Hoki Remaja di Lucknow, India semalam. -PERSEKUTUAN HOKI ANTARABANGSA

MALAYSIA berjaya meraih kemenangan pertama dalam kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2016 apabila menewaskan Mesir 2-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Major Dhyan Chand di Lucknow, India semalam.

Kemenangan tersebut kembali membuka ‘pintu’ buat skuad hoki remaja lelaki kebangsaan dalam misi mengintai kedudukan dua terbaik daripada Kumpulan B untuk cuba melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, peluang ter­sebut tetap dilihat sukar memandangkan pasukan kendalian Wallace Tan itu perlu menewaskan pendahulu Kumpulan B, Belgium pada aksi terakhir pe­ringkat kumpulan hari ini.

Belgium ketika ini telah merekodkan kemenangan bersih dua perlawanan selepas berjaya menewaskan Belanda 3-2 semalam berbanding Malaysia tewas te­ruk 2-7 kepada pemenang tempat ketiga edisi 2013 itu pada aksi pertama, Jumaat lepas.

Bagaimanapun, segalanya tidak mustahil sekiranya anak-anak buah Wallace mengekalkan corak permainan dan semangat tinggi serta mengelak daripada melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti dipamerkan sewaktu menewaskan Mesir semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia tidak memberikan banyak ruang kepada Mesir untuk melancarkan serangan ke arah kubu skuad negara dengan mendominasi sebahagian besar perlawanan.

Hasilnya, Malaysia berjaya me­ledak gol pertama menerusi jaringan padang Mohamad Zulhamizan Awang Abas selepas me­nerima hantaran menarik daripada Rafizul Ezry Mustafa pada minit ke-13.

Disiplin tinggi dipamerkan para pemain menyaksikan Mesir sukar untuk menembusi benteng pertahanan negara meskipun memperoleh empat pukulan sudut penalti dalam perlawanan tersebut.

Sebaliknya, Malaysia yang sen­tiasa mengasak kubu Mesir berjaya memperoleh gol kedua, sekali gus memenangi perlawanan itu dengan keputusan selesa 2-0 menerusi jaringan padang Abdul Khaliq Hamirin pada minit ke-61.

Mengulas lanjut, Zulhamizan, 20, yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan semalam, mengakui dia dan rakan-rakan sepasu­kannya akan menumpukan fokus penuh kepada taktikal daripada jurulatih menjelang aksi getir hari ini.

“Kami gembira kerana berjaya meraih tiga mata pertama dalam kejohanan ini. Fokus kami kini terarah kepada aksi menentang Belgium esok (hari ini) dan kami akan mengikut setiap peranca­ngan jurulatih untuk perlawanan itu,” katanya

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4SZxFh5Zv Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan