Sabtu, 17 Disember 2016

Pertahanan Malaysia bermain cemerlang

ARKIB : 13/03/2000
OSAKA, Jepun - Kecemerlangan barisan pertahanan menyelamatkan empat percubaan pukulan sudut penalti pada minit terakhir memastikan Malaysia mengutip satu mata selepas seri 4-4 dengan Argentina pada perlawanan kumpulan B hoki kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Hoki Nagai di sini, semalam.

Keputusan itu juga menafikan hasrat Jorge Lombi yang mencipta jaringan hatrik buat Argentina untuk meraikan kemenangan selepas menyumbat masuk gol pertama seawal minit kedua permainan hasil pukulan sudut penalti.

Malaysia mengambil masa 10 minit kemudian untuk menyamakan kedudukan apabila pemain gantian, M. Kaliswaran melorongkan bola untuk dirembat masuk oleh Chairil Anwar Abdul Aziz.

Pada minit ke-15, Lombi sekali lagi menggegarkan gawang Malaysia menerusi pukulan sudut penalti, sebelum melengkapkan hatrik di minit ke-24.

Malaysia yang mendapat kesempatan terbaik, kembali mendekatkan jurang gol apabila S. Kuhan menguis masuk pukulan sudut penalti, tiga minit sebelum tamat permainan babak pertama.

Begitupun, Argentina yang terus mengasak sebaik babak kedua bermula berjaya memastikan kedudukan 4-2 selepas Matias Vila yang menerima hantaran cantik Sebastian Raffo menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin pada minit ke-40.

Jaringan itu tidak mematahkan semangat juang pemain negara dan Nor Saiful Zaini bertindak cemerlang mendekatkan jurang dengan merembat masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-50, sebelum gol keempat hasil penalti strok oleh Kuhan, minit ke- 63.

Bagaimanapun, Malaysia berdepan detik mencemaskan pada minit terakhir permainan selepas pengadil dari Australia, M. Grime memberikan empat pukulan sudut penalti berturut-turut kepada lawan, tetapi berjaya dihalang barisan pertahanan negara.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen menyifatkan keputusan seri itu sebagai satu rahmat kerana hampir tumpas kepada Argentina.

''Kita melakukan banyak kesilapan dan di ambang kekalahan, sebelum bangkit menyamakan kedudukan. Argentina bermain pantas dan kita bernasib baik dapat menyekat asakan berterusan mereka.

''Secara keseluruhan, saya gembira kerana barisan pertahanan beraksi cemerlang menyelamatkan empat pukulan sudut penalti pada minit terakhir permainan, begitu juga dengan persembahan terbaik S. Kuhan,'' katanya.

Penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin mengakui kegagalan menyekat tiga pukulan sudut penalti oleh Lombi disebabkan kesilapan pertahanan.

''Ia kerana salah faham antara saya dan Nor Azlan (Bakar) kerana posisi kami selari dan saya sukar untuk menentukan arah bola yang dirembat lawan. Itu puncanya,'' kata Roslan.

Sementara itu, jurulatih Argentina, Alejandro Verga berkata, faktor nasib dan tekanan yang diterima akibat asakan Malaysia di babak kedua permainan memaksa mereka berpuas hati dengan keputusan seri.

''Kami tidak beraksi secara taktikal di babak kedua dengan banyak melakukan kesilapan. Kami rasa tertekan dan faktor nasib juga ada kaitan.

''Kami juga gagal dalam percubaan akhir untuk mencapai kemenangan selepas kecemerlangan barisan pertahanan Malaysia menghalang empat pukulan sudut penalti,'' ujarnya.

Malaysia akan meneruskan cabaran menentang Switzerland esok, sebelum bertemu Pakistan pada perlawanan terakhir kumpulan, 16 Mac ini. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T6jsJLK8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan