Khamis, 15 Disember 2016

Pukulan penalti sekat kemaraan Malaysia


 

ARKIB : 22/02/2000
Pukulan penalti sekat kemaraan Malaysia
PEMAIN negara, S. Kuhan (kanan) berusaha mengeluarkan bola daripada kawasan D dalam satu asakan pemain Pakistan, Muhammad Nadeem (No. 17) pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. Malaysia tewas 2-3. - Gambar ZULKARNAIN SAIDIN

PAKISTAN meleburkan rekod tanpa kalah Malaysia dengan kemenangan 3-2 sekali gus membuka ruang buat Korea Selatan merampas kedudukan di tangga teratas Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Korea Selatan dan Pakistan masing-masing kini mengumpul 10 mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan gol manakala Malaysia di tangga ketiga dengan sembilan mata.

Pada perlawanan semalam, Pakistan yang menguasai babak pertama perlawanan melancarkan banyak serangan balas bertubi-tubi ke kubu Malaysia dan berjaya memperoleh dua gol.

Pasukan itu mendahului dua gol menerusi jaringan Imran Yousof pada minit kelima, diikuti gol oleh Muhammad Anis pada minit ke-13.

Kecemerlangan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli berjaya mengetepikan beberapa percubaan berbahaya lawan termasuk usaha yang dilakukan Muhammad Sarwar pada minit ke- 20.

Penyerang Pakistan itu yang tidak dikawal kemas bijak menggunakan kesempatan hasil hantaran jauh untuk menembusi bentang Malaysia, tetapi Mohd. Nasihin pantas bertindak menyepak keluar bola rembatannya.

Penjaga gol negara itu juga berjaya menyelamatkan asakan penyerang berbisa lawan, Atif Bashir pada minit ke-26.

Begitupun, Malaysia yang memperkemaskan jentera serangan di babak kedua hampir memperoleh gol pertama pada minit ke-42 apabila bola hantaran Chairil Anwar Abdul Aziz disambut dengan baik oleh Mohd. Syayrim Uda Karim tetapi rembatannya diselamatkan penjaga gol lawan, Ahmed Alam.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya mendekatkan jurang apabila serangan yang dilakukan oleh gandingan K. Keevan Raj dan Chua Boon Huat nyata membuahkan hasil pada minit ke-58.

Keevan yang tidak dikawal kemas menolak bola kepada rakan sepasukan itu yang kemudian merembat masuk gol pertama negara.

Malaysia yang mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-61 berjaya menyamakan kedudukan selepas hantaran Keevan di tampan dengan baik oleh Nor Azlan Bakar sebelum dirembat masuk oleh S. Kuhan.

Begitupun, malang menimpa skuad negara apabila pengadil, H. Jamson dari India memberikan pukulan penalti strok kepada Pakistan seminit selepas itu ketika pasukan lawan melancarkan serangan dalam kawasan penalti.

Jamson menyalahkan pemain pertahanan Malaysia kerana melakukan kekasaran dan memberi peluang kepada Imran Yousof menyempurnakan pukulan tersebut.

Imran dengan mudah menolak masuk bola untuk menewaskan Mohd. Nasihin pada minit ke-62, sekali gus membolehkan Pakistan meraihkan kemenangan 3-2.

Malaysia akan bertemu Korea Selatan hari ini sebelum menentang India pada perlawanan terakhir pada hari Khamis

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SvIh2ydC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan