Selasa, 20 Disember 2016

Sasaran kita ke separuh akhir

ARKIB : 28/04/2000
MALAYSIA tidak akan memandang remeh keupayaan lawan sekali pun meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir dalam acara hoki lelaki kumpulan A Piala Remaja Asia bermula Rabu ini di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Skuad negara sebelum ini diundi bersama Pakistan, Korea Selatan, Singapura, Taiwan dan Sri Lanka yang mengambil alih tempat Oman selepas pasukan itu menarik diri atas alasan kebanyakan pemainnya sedang menghadapi peperiksaan.

Berbekal persediaan mental selama tiga hari di Port Dickson, skuad remaja kini diharap lebih bersedia menghadapi cabaran besar bagi melepasi halangan peringkat kumpulan.

Jurulatih negara, Yahya Atan berkata, tumpuan utama pasukan bimbingannya itu ialah untuk memastikan Malaysia melangkah ke separuh akhir, sekali gus mencerahkan laluan ke pusingan akhir Piala Dunia nanti.

''Latihan di Port Dickson ini mampu membentuk keyakinan tinggi para pemain dan itu yang kita harapkan sebelum berdepan mana-mana pasukan sekumpulan termasuk Pakistan dan Korea Selatan.

''Selepas ini para pemain akan didedahkan dengan sesi latihan lebih sukar kerana sasaran kita ialah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir,'' kata Yahya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, masalah utama yang dihadapi sekarang ialah mencari flicker terbaik yang mampu melakukan aksi penyudah bagi pukulan sudut penalti.

''Masalah kita ialah tiada hitter yang baik dan mungkin terpaksa menggunakan khidmat Chua (Boon Huat) dan M. Jiwa untuk itu.

''Kita akan turunkan barisan yang sama seperti Piala Razak kerana kita tidak banyak pilihan berbanding skuad senior,'' ujarnya.

Malaysia katanya, tetap menghormati kemampuan pasukan lawan dan mungkin terpaksa lebih berhati-hati dalam memburu tempat terbaik pada kejohanan itu yang juga merupakan pusingan kelayakan Asia ke Piala Dunia

''Bagi saya, mana-mana kejohanan tetap sukar walau siapa pun lawan dan kali ini kita juga tidak mengetahui sejauh mana keupayaan pasukan lain termasuk Sri Lanka yang menggantikan tempat Oman.

''Oleh itu, kita tidak akan memandang rendah pasukan lain dalam kumpulan A dan kita akan turun nanti dengan satu tekad mencari kemenangan pada setiap perlawanan,'' tambahnya.

Pasukan pilihan India pula akan membawa cabaran dalam Kumpulan B bersama China, Jepun, Uzbekistan, Iran dan Bangladesh.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4TNEzHxHK © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan