Sabtu, 17 Disember 2016

Selepas gagal menyaingi kehebatan Britain -- Malaysia puas hati di tempat keenam

ARKIB : 20/03/2000
MALAYSIA sekadar menamatkan cabaran di tempat keenam keseluruhan selepas gagal menyaingi kehebatan Britain yang mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan penentuan hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, semalam.

Britain yang memberi aksi terbaik hampir mendahului seawal minit ketiga permainan tetapi hantaran Calum Giles gagal dirembat tepat oleh Stuart Head.

Malaysia cuba bangkit menerusi pukulan sudut penalti pertama di minit ke-11, namun pukulan yang dilakukan oleh S. Kuhan ditampan keluar oleh pertahanan lawan.

Pasukan lawan turut mendapat kesempatan terbaik untuk menghasilkan gol pertama pada minit ke-20 dan 26, tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli dan kedudukan kekal tanpa jaringan.

Pada babak kedua, Britain yang menggandakan serangan membolosi gawang negara buat kali pertama apabila Giles merembat masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Giles juga mencipta peluang untuk gol kedua Britain dengan menolak bola yang disempurnakan oleh Head pada minit ke-60.

Usaha keras barisan serangan negara hampir membuahkan hasil, dua minit kemudian apabila Shaiful Azli Abdul Rahman merembat masuk bola selepas pergelutan di depan pintu gol lawan, tetapi jaringan itu dibatalkan oleh pengadil.

Begitupun, Malaysia berjaya mendekatkan jurang seminit sebelum tamat permainan dengan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi merembat masuk pukulan sudut penalti, tetapi sudah terlewat untuk memastikan tempat kelima.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen bagaimanapun berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walau pun hanya mampu menamatkan cabaran di tempat keenam.

''Bagi saya para pemain tidak hilang konsentrasi tetapi sudah memberikan persembahan terbaik mereka. Kita kurang mendapat pukulan sudut penalti, begitu juga serangan balas tersekat oleh pihak lawan.

''Tentang gol yang dibatalkan itu, bagi saya keputusan pengadil memang tepat dan tidak perlu dipersoalkan. Apa yang penting sekarang kita sudah layak ke Olimpik,'' kata Stephen.

Pengurus pasukan, R. Yogeswaran menyifatkan pertemuan menentang Jepun tetap kekal dalam ingatan kerana ia menjadi penyebab Malaysia ke Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

''Pertemuan itu akan kekal dalam ingatan kami. Jepun memberikan aksi terbaik mereka dengan semangat juang tinggi. Kami mendoakan Jepun berjaya dalam sukan ini di masa depan,'' katanya. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6tZyLQr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan