Sabtu, 17 Disember 2016

Semangat pemain bersemarak

ARKIB : 15/03/2000
KEJAYAAN ke persaingan play-off menyemarakkan semangat pemain negara untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan seri dengan Pakistan pada perlawanan kumpulan B hoki kelayakan Olimpik di Stadium Hoki Nagai, Osaka, hari ini.

Sekalipun menyedari Pakistan sukar ditumbangkan selepas mencatat kemenangan terbaru 3-2 ke atas Malaysia pada Piala Azlan Shah baru-baru ini, namun keyakinan tinggi terserlah di kalangan pemain negara.

Ketua pasukan, Mirnawan Nawawi berkata, skuad negara akan memberi persembahan terbaik dan menganggap keputusan seri ke atas pasukan gergasi Asia itu sebagai bonus.

''Pakistan adalah pasukan yang kuat dan kita kalah 2-3 pada Piala Sultan Azlan Shah, tetapi itu tidak bermakna kita akan melepaskan peluang untuk memastikan kemenangan.

''Menang mencerahkan lagi peluang, seri merupakan satu bonus, tetapi kalah tidak mendatangkan apa-apa kerana kita sudah pun layak ke perlawanan play-off','' katanya.

Penjaga gol, Mohd. Nasihin Nubli yang menyelamatkan lebih lima percubaan berbahaya barisan serangan Switzerland berhasrat meneruskan aksi cemerlang jika diturunkan menentang Pakistan.

''Saya tidak memikirkan status sebagai penjaga gol kedua negara kerana yang penting ialah memberi aksi terbaik untuk memastikan kemenangan dan saya rasa cukup yakin,'' ujarnya.

K. Keevan Raj pula menghadiahkan jaringan pertamanya untuk memastikan kemenangan 4-2 ke atas Switzerland itu kepada Sultan Azlan Shah.

''Saya bertambah yakin ketika beraksi kerana Sultan Azlan berada di stadium menyaksikannya. Tuanku memberi semangat buat saya,'' katanya.

Jurulatih negara, Stephen van Huizen pula menambah, keyakinan tinggi pemain akan menjadi faktor penting dalam mencongak pertemuan dengan Pakistan.

''Semangat pemain kembali tinggi dan siapa tahu kita mungkin boleh mencipta kejutan ke atas Pakistan. Itu yang kita harapkan walaupun sudah layak ke play-off,'' tambahnya.

Apa pun, kemenangan ke atas Pakistan dengan dibantu keputusan mengejut lain dalam kumpulan sama hari ini dan esok, bakal membuka peluang buat Malaysia ke separuh akhir, sekali gus menempah tempat secara automatik ke Sydney. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4T6nfoLX6 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan