Khamis, 15 Disember 2016

Skuad negara raih semangat awal


 

ARKIB : 15/02/2000
PEMAIN pertahanan Malaysia, Maninderjit Singh, (kanan) terjatuh ketika merampas bola daripada kawalan penyerang Kanada, Marek Gracer (tengah) pada perlawanan hoki persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. Malaysia menang 3-1. - Gambar IZHAM JAAFAR

MALAYSIA meraih semangat awal menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila menewaskan Kanada 3-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Jumlah jaringan yang besar itu, bagaimanapun belum cukup untuk dijadikan ukuran oleh jurulatih negara, Stephen Van Huizen kerana Kanada nyata tidak bermain sepenuh hati.

''Seperti yang saya katakan, perlawanan ini hanyalah latihan. Kita mendapat banyak peluang dan begitu juga Kanada, tetapi gagal menyempurnakannya,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Stephen merehatkan dua pemain utama, Mirnawan Nawawi - mungkin bagi mengelakkan ketua pasukan itu daripada tercedera - dan penjaga gol nombor satu negara, Roslan Jamaluddin yang masih cedera.

''Roslan terpaksa direhatkan kerana kita belum tahu sejauh mana tahap kecederaannya,'' kata Stephen.

Roslan sebelum ini dikatakan mengalami kecederaan lutut kiri tetapi pemeriksaan doktor mendapati dia sakit di bahagian paha.

''Kita sudah mengujinya hari ini dan dia tidak mengadu kesakitan. Bagaimanapun Roslan masih perlu menjalani pemeriksaan doktor lagi esok.

''Jika doktor membenarkan dia bermain, maka dia akan diturunkan dalam perlawanan pembukaan nanti,'' jelas Stephen.

Dalam perlawanan semalam, pemain pertahanan, Calvin Fernandez turut tercedera di kaki dan seperti Roslan akan menemui doktor hari ini.

Perlawanan tersebut menyaksikan Kanada yang telah layak ke Sukan Olimpik di Sydney September ini lebih banyak bertahan untuk memberi peluang kepada para pemain negara menyerbu kawasan D mereka.

Skuad negara membuka jaringan gol pada minit ke-21 apabila pemain pertahanan, S. Kuhan menolak masuk bola hasil set piece pukulan sudut penalti yang nyata mengelirukan pihak lawan.

Walaupun menguasai babak pertama, skuad negara bagaimanapun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Perlawanan selepas rehat juga tidak banyak berbeza dengan anak-anak buah Stephen bertubi-tubi mengasak sementara Kanada yang melakukan serangan balas dikecewakan oleh ketangkasan penjaga gol negara, Mohd. Nasihin Nubli.

Penyerang negara, Chairil Anwar Aziz yang tercicir dari senarai pasukan ketika melawat Jepun bulan lalu, menceriakan kem negara apabila menghasilkan gerakan untuk gol kedua apabila menolak bola kepada M. Kaliswaran untuk gol kedua.

Hantaran tersebut disempurnakan dengan baik oleh apabila memperdayakan penjaga gol pelawat sebelum mudah menolak bola ke dalam gawang pada minit ke-40.

Kanada yang dibimbing oleh Shiaz Virjee cuba bangkit dengan gol semangat pada minit ke-59, tetapi jaringan Suhaimi Ibrahim yang menyambar hantaran lintang Kaliswaran pada minit ke-66 terus menutup semangat juang Kanada.

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Suv1ZnUy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan