Sabtu, 17 Disember 2016

Van Huizen yakin pemainnya dapat atasi Jepun -- Selangkah ke Sydney atau gulung tikar

ARKIB : 18/03/2000
HANYA satu langkah lagi bakal menjadi penentu sama ada Malaysia mampu menempah tiket buat kali ketiga berturut-turut ke Sukan Olimpik apabila menentang tuan rumah, Jepun pada pertemuan kalah mati di Stadium Hoki Nagai, Osaka, hari ini.

Walau pun rekod menyebelahi Malaysia dalam beberapa pertemuan sebelum ini, tetapi kebangkitan Jepun di peringkat kelayakan ini cukup menggambarkan kesediaan mereka untuk menamatkan kemarau penyertaan sejak 32 tahun lalu.

Jepun kali terakhir beraksi di Sukan Olimpik Mexico City pada 1968 dengan menduduki tangga ke-13 manakala Malaysia yang meraih tempat kesembilan di Barcelona 1992 kemudian jatuh ke tangga ke-11 di Atlanta, empat tahun lalu.

Begitupun, jurulatih negara, Stephen van Huizen tetap yakin Malaysia berupaya mencapai impian ke Olimpik kali ini jika mampu mengekang tuan rumah yang cukup mahir menghasilkan gol padang serta mendapatkan pukulan sudut penalti sebanyak mungkin.

''Jepun memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri, tetapi mereka lebih tertekan dengan sokongan penonton dan kita mungkin bermain secara taktikal.

''Saya yakin kita mampu mencapai kemenangan jika barisan pertahanan berjaya melakukan tugas cemerlang untuk menyekat usaha mereka, selain mencari jalan mendapatkan pukulan sudut penalti,'' kata van Huizen.

Jurulatih negara itu terus giat melatih anak buahnya melakukan pukulan sudut penalti dan mengambil masa hampir setengah jam ketika sesi latihan untuk menajamkan lagi aspek tersebut.

Pengurus pasukan Jepun, Yuji Nagai pula menyifatkan Malaysia sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai jentera pertahanan mantap, tetapi sudah merangka strategi untuk menggegarkan gawang negara.

''Ia pertemuan terpenting buat kami ke Olimpik, tetapi saya percaya kami juga berpeluang menang jika mampu mengatur serangan balas dengan cepat.

''Kami juga terpaksa berusaha memastikan Malaysia tidak mendapat pukulan sudut penalti kerana mereka bijak menggunakannya untuk menghasilkan gol. Kami akan cuba sekat mereka,'' kata Yuji.

Jurulatih Poland, Jerzy Wybieralski yang turut mengulas pertemuan getir itu berkata, Malaysia berpeluang menempah tempat ke Olimpik, tetapi perlu bersedia menghadapi kejutan pihak lawan.

''Jangan kata Jepun pasukan yang mudah dikalahkan, saya lihat mereka cukup bersemangat untuk mencipta kemenangan selain mahir mengawal bola.

''Malaysia pula perlu mencari jalan memperbaiki lagi prestasi turun naik mereka sekian lama, kalau tidak tentu sukar mencipta kemenangan lebih-lebih lagi berdepan tuam rumah,'' ujarnya.

Pandangan jujur Wybieralski ini perlu diambil kira jika prestasi sebenar negara pada peringkat kumpulan menjadi kuran di mana Malaysia tumpas 1-7 kepada Sepanyol dalam perlawanan pertama.

Ini diikuti kemenangan 7-1 ke atas Belarus, mengikat seri 4-4 dengan Argentina, menag 4-2 ke atas Switzerland dan kalah 2-5 kepada Pakistan.

Jepun pula kalah 2-4 kepada Britain, menang 2-0 ke atas Poland, diikuti jaringan sama ke atas New Zealand, sebelum tunduk 1-5 kepada Korea Selatan.

Pada pertemuan terakhir kumpulan Jepun diberi tentangan sengit untuk seri 3-3 dengan Belgium, tetapi semangat tinggi pemain menjadi pertaruhan utama mereka.

Apapun, pertemuan Malaysia-Jepun hari ini adalah segala-galanya buat skuad negara untuk ke Sydney dan hanya persembahan terbaik mampu meletakkan nama Malaysia di Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut. - Daripada SAADON JAAFAR Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4T6rGKM2W © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan