Selasa, 21 Mac 2017

Aksi terbaik belum mencukupi

ARKIB : 02/03/2002
PEMAIN pertahanan negara, Maninderjit Singh diasak oleh dua pemain Korea Selatan pada perlawanan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Korea Selatan menang 3-2. - Gambar Zaki Amiruddin.

DUA gol jaringan pemain tengah, S. Kuhan gagal membantu Malaysia apabila tumpas 3-2 kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Sydney, Korea Selatan dalam aksi mendebarkan pada perlawanan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Perlawanan yang mencuri tumpuan hampir 16,000 penonton di dalam stadium itu dengan ratusan lagi peminat terpaksa beratur untuk membeli tiket ketika permainan sudah bermula, menyaksikan skuad negara memberikan aksi terbaiknya sekali pun terpaksa berhempas pulas.

Barisan Malaysia juga terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mendekatkan jurang kepada 3-1 sebelum saingan babak pertama dihentikan.

Korea Selatan yang terkenal dengan corak serangan pantas, memulakan aksi penuh bergaya dengan menyumbat masuk gol per-tama seawal minit ke-15 menerusi ketua pasukannya, Kang Keon-Wook.

Keon-Wook menghasilkan gol cantik dengan memusingkan badan sambil melakukan rembatan bola hasil hantaran Kim Jung-Chul untuk menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Pasukan gergasi Asia itu menjadikan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-21 apabila bola hasil hantaran Song Seong-Tae disempurnakan oleh leeJong-Seong.

Selepas penguasaan berterusan lawan, Malaysia kembali menemui rentak permainan menerusi percubaan bahaya oleh Maninderjit Singh, tetapi usahanya itu berjaya digagalkan oleh penjaga gol Korea Selatan, Kim Yoon.

Namun seminit kemudian, S. Kuhan berjaya menghasilkan gol pertama negara hasil pukulan sudut penalti selepas bola hantaran K. Keevan Raj yang ditampan kemas oleh S. Shanker untuk disempurnakan oleh pemain utama negara itu.

Korea Selatan yang terkejut dengan jaringan itu bingkas melancarkan serangan balas dan akhirnya memperoleh gol ketiga hasil rembatan Yeo Woon-Kon pada minit ke-27 sejurus selepas pemain negara, K. Gobinathan dilayangkan kad kuning dan perintah keluar padang kerana mengasari lawan.

Sekali pun ketinggalan 3-1 pada babak pertama, skuad negara memberikan aksi lebih bertenaga dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu lawan.

Pada minit ke-43, Maninderjit melorongkan bola cantik ke kawasan D lawan, namun usahanya itu gagal disambung oleh penyerang negara, Chairil Anwar Abdul Aziz.

Begitupun, Malaysia berhasil juga mendekatkan jurang kepada 3-2 apabila S. Kuhan merembat masuk bola pukulan sudut penalti pada minit ke-53, sebelum satu lagi percubaan bahaya Gobinathan yang berjaya digagalkan oleh pertahanan lawan, minit ke-62.

Ini adalah kekalahan kedua skuad negara dalam saingan kumpulan termasuk tumpas kepada Australia 3-0 pada aksi pertama Ahad lalu, tetapi kemenangan 1-0 ke atas Jepun dan 3-2 ke atas India membolehkan Malaysia mengumpul enam mata daripada empat perlawanan.

Kekalahan itu hanya membuktikan bahawa skuad negara memiliki kemampuan untuk bersaing dengan pasukan sehebat naib juara Olimpik itu tetapi melepaskan peluang kerana di dalam minda mereka telah tertanam rasa gerun.

``Mereka tidak sepatutnya merasa malu kepada status Korea Selatan selaku pemenang pingat perak Olimpik. Rasa malu itu yang menyebabkan pemain-pemain takut untuk melakukan serangan sehingga terlalu terikat dengan sistem,'' kata jurulatih negara, Paul Lissek selepas perlawanan.

Lissek, yang mengakui bangga dengan semangat melawan anak-anak buahnya bercakap dengan suara serak kerana terlalu banyak menjerit. Jurulatih dari Jerman itu memberitahu bahawa pada masa rehat, beliau telah mengarahkan pemain-pemain agar melakukan serangan habis-habisan tanpa rasa bimbang kalah dengan jaringan lebih besar.

``Mereka menurut kata saya dan hasilnya kita dapat lihat bahawa skuad kita sebenarnya mempunyai kebolehan dan kemampuan setanding jika mereka tidak terikat dengan rasa takut itu,'' katanya.

Jurulatih Korea Selatan, Jae Hong-jeon terpaksa mengakui beliau sangat bimbang apabila menyaksikan Malaysia mempamerkan permainan yang sungguh berbeza pada babak kedua setelah lebih banyak bertahan di separuh masa pertama.

``Pemain-pemain saya begitu tertekan dengan asakan bertalu-talu oleh skuad Malaysia. Kami bernasib baik kerana dapat mempertahankan kedudukan 3-2 itu,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0302&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bxKuZcG8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan