Isnin, 20 Mac 2017

Aksi yang boleh dibanggakan


 

ARKIB : 24/01/2002
PEMAIN Australia, Matthew Smith (kanan) berebut bola dengan pemain tengah negara, S. Shanker pada Kejohanan Hoki Enam Negara di Bukit Jalil, semalam.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
MALAYSIA mempersembahkan aksi bertaraf dunia untuk bangkit dua kali bagi mengikat Australia dengan keputusan seri 2-2 pada Kejohanan Hoki Enam Negara di Bukit Jalil, semalam.

Australia, pemenang tempat kedua Trofi Juara-Juara dan pemenang gangsa Olimpik beraksi pantas tetapi tuan rumah, yang bermain lebih kemas berbanding tiga perlawanannya sebelum ini, berjaya memberikan saingan di depan kira-kira 4,000 penonton di Stadium Hoki Nasional.

Malah, skuad negara membentuk kombinasi cemerlang dari bahagian pertahanan hingga serangan untuk sentiasa meletakkan penjaga gol Australia, Mark Hickman dalam keadaan cemas.

Skuad Kookaboora, yang menyangka Malaysia akan bermain corak bertahan, mungkin merasakan akan mendapat laluan mudah apabila Troy Elder menjaringkan gol sulung perlawanan menerusi pukulan sudut penalti ketika perlawanan hanya berusia 11 minit.

Tetapi, anak buah Paul Lissek membuktikan mereka tidak boleh dipandang ringan dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-29.

Gol berpunca daripada gerakan cantik penyerang muda, Mohd. Rodhanizam Mohd. Nor yang menggelecek pertahanan lawan sebelum merembat bola ke depan pintu gol untuk ketua pasukan, Mirnawan Nawawi menampan masuk gol pertamanya sejak Cabaran Juara-Juara di tempat yang sama November lepas.

Australia bagaimanapun berjaya mendahului 2-1 apabila menembusi benteng skuad negara pada minit terakhir babak pertama hasil jaringan cantik Jamie Dwyer yang merembat bola ke penjuru atas sebelah kiri pintu gol negara.

Pada babak kedua, kerjasama kemas antara bahagian pertahanan dengan bahagian tengah skuad negara menyaksikan Australia sukar untuk merencana serangan.

Malaysia menggunakan peluang itu dengan sebaik mungkin dan mencipta beberapa peluang tetapi hanya berupaya mendapat gol penyamaan buat kali kedua pada minit ke-50 daripada sudut penalti.

Helah skuad negara nyata berjaya mengelirukan pertahanan lawan apabila Chua Boon Huat melorongkan bola kepada M. Jiwa untuk merembat masuk ke penjuru kiri gawang lawan.

Lissek menganggap keputusan itu sebagai kemenangan barisan pertahanan negara yang bermain cemerlang.

``Saya gembira dengan keputusan ini, gembira dengan permainan mereka yang telah menunjukkan persembahan yang bermutu,'' katanya selepas perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan mengesahkan tempatnya ke perlawanan akhir apabila menundukkan New Zealand 3-1.

Pakistan bagaimanapun ketinggalan 1-0 pada minit ke-12 menerusi jaringan cantik Ken Robinson.

Tetapi Sohail Abbas menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-35 Ñ menggunakan kekuatan tangannya untuk menghayun bola ke dalam gawang.

Kashif Jawad menambah gol kedua pasukannya pada minit ke-49 sebelum pemain gantian, Saleem Khalid meletakkan Pakistan pada kedudukan selesa setelah menerima hantaran Sarwar Muhammad pada minit ke-55.

Pakistan yang kini mengumpul 12 mata akan melengkapkan kempen pusingan awal ini dengan bertemu Australia hari ini, sementara Malaysia berdepan tugas sukar apabila bertemu Belanda.

Skuad negara memerlukan kemenangan untuk memastikan tempat ke perlawanan penentuan 3/4 sambil mengharapkan New Zealand sekurang-kurangnya seri dengan Jepun.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqx1Evot

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan