Ahad, 19 Mac 2017

Berbangga keputusan seri

ARKIB : 17/10/2001
Daripada SAADON JAAFAR
HOBART - Aksi cemerlang penjaga gol negara, Mohd. Firdaus Razali menggagalkan lima percubaan bahaya Afrika Selatan ketika Malaysia memilih jalan sukar untuk ke separuh akhir selepas seri 1-1 dalam saingan pusingan kedua kumpulan H Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Pusat Hoki Tasmania di sini, semalam.

Mohd. Firdaus, 17, mempamerkan persembahan terbaiknya pada perlawanan sengit semalam, termasuk menyekat pukulan penalti strok yang dilakukan oleh ketua pasukan Afrika Selatan, Iain Evans pada minit ke-65.

Dia juga bertindak pantas sebelum itu untuk menghalang asakan Eric Rose Innes seawal minit ke-25, selain menggagalkan usaha gandingan penyerang lawan, Dale Isaac dan Reece Johnson, empat minit selepas itu.

Malaysia memulakan aksi kemas dan serangan balas yang dilancarkan pada minit ke-33 berjaya menghasilkan gol apabila hantaran ketua pasukan, Chua Boon Huat dirembat masuk oleh K. Logan Raj, melepasi jangkauan Francois Du Plessis.

Afrika Selatan bangkit memburu gol penyamaan dan mereka hampir menghasilkan gol pada minit ke-48 jika tidak kerana kecekapan Mohd. Firdaus yang menggagalkan rembatan Isaac. Usaha mereka berhasil pada minit ke-53 apabila Ian Symons merembat masuk bola selepas pergelutan di depan pintu gol.

Malaysia perlu menewaskan Chile hari ini sambil berharap tidak berlaku keputusan seri pertemuan antara Afrika Selatan dan Scotland.

Sekali pun berada dalam kedudukan bahaya untuk memburu dua tempat teratas untuk perebutan tempat kesembilan hingga 12 pada kejohanan edisi ketujuh itu, jurulatih negara, Yahya Atan tetap yakin misi itu boleh dicapai. - Utusan
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bllVwDAT

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan