Selasa, 21 Mac 2017

Chairil Anwar jaring gol tunggal Malaysia - Jepun ditumbangkan



ARKIB : 27/02/2002
 
PEMAIN Malaysia meraikan gol kemenangan yang dijaringkan oleh Chairil Anwar Abdul Aziz ketika menentang Jepun dalam perlawanan yang disaksikan lebih 4,000 penonton pada Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam. Malaysia menang 1-0.

CHARIL ANWAR ABDUL AZIZ muncul wira Malaysia ketika melaksanakan misi mengatasi semangat kamikaze Jepun dengan kemenangan 1-0 dalam saingan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Chairil, penyerang yang pernah beraksi pada Piala Dunia di Utrecht, Belanda pada 1998, menyambung hantaran percuma S. Kuhan dari luar kawasan D untuk gol tunggal negara pada minit ke-27.

Malaysia bermula cemerlang pada babak pertama dan serangan balas pantas pada minit ke-13 hampir membuahkan hasil, tetapi percubaan bahaya pemain muda, Mohd. Fairuz Ramli berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Jepun, Jun Takahashi.

Begitupun, tiga minit kemudian, giliran Jepun pula menguji pertahanan negara menerusi Kenichi Katayama, tetapi usahanya berjaya digagalkan oleh Nor Azlan Bakar di depan gawang negara.

Pada minit ke-22, Mohd. Fairuz sekali lagi cuba membolosi benteng lawan, namun percubaan yang dilakukannya sempat disekat pertahanan Jepun, sebelum gol Malaysia oleh Chairil untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.

Pada babak kedua, Jepun yang ketinggalan satu gol berusaha memburu gol penyamaan, namun usaha yang dilakukan oleh gandingan penyerangnya, Akira Takahashi dan Katayama gagal membuahkan hasil pada minit ke-42.

Seminit selepas itu, Nor Azlan sekali lagi muncul penyelamat apabila bertindak pantas menyekat percubaan bahaya ketua pasukan Jepun, Takahiko Yamabori. Pada minit ke-47, Malaysia melakukan asakan ke gawang lawan menerusi rembatan awal M. Jiwa tetapi ditampan oleh penjaga gol, Jun Takahashi. Bola yang ditolak ke kawasan permainan kemudian berjaya diambil oleh K. Keevan Raj, namun pukulannya tersasar ke kanan gol lawan.

Jepun yang menggunakan sepenuh kudrat untuk memburu jaringan bagaimanapun gagal menemui sentuhan gol, termasuk percubaan bahaya oleh Naoya Iwadate yang ditepis keluar penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Ketua jurulatih negara, Paul Lissek yang gembira dengan kemenangan itu bagaimanapun tidak mahu dibuai mimpi kerana pertemuan berikutnya lebih getir menentang India hari ini.

``Masa 15 minit terakhir cukup mendebarkan buat saya kerana Jepun melakukan asakan bertalu-talu dan mereka memperoleh beberapa pukulan sudut penalti.

``Secara keseluruhannya, ada peningkatan dalam skuad kebangsaan dari segi persembahan. Pemain kita ada usaha untuk menyerang, tetapi tidak bernasib baik kerana gagal menambah jaringan,'' katanya.

India setakat ini hanya mampu mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Jepun, Ahad lalu sebelum tunduk kepada Korea Selatan 2-1 semalam.

``Saya percaya kemenangan ini menyuntik semangat pemain negara walaupun sukar berdepan India esok (hari ini) kerana mereka akan beraksi bermati-matian selepas kalah 2-1 kepada Korea Selatan ``Dalam aksi terakhir, kita mengalahkan India 2-1 pada Kejohanan Enam Negara dan pertemuan kedua-dua pasukan pastinya menjanjikan aksi menarik kerana masing-masing sudah faham corak permainan lawan,'' katanya.

MALAYSIA: Roslan Jamaluddin, Maninderjit Singh, Nor Azlan Bakar, Chua Boon Huat, S. Kuhan, K. Keevan Raj, Mohd. Madzli Ikmar, S. Shanker, Chairil Anwar Abdul Aziz, Mirnawan Nawawi, Mohd. Tajol Rosli Mohamed.

JEPUN: Jun Takahashi, Takahiko Yamabori, Daisuke Hokaze, Naohiko Tobita, Akihiko Hirata, Mitsuru Ito, Kenji Asai, Akira Takahashi Kenichi Takayama, Naoya Iwadate, Atsushi Takehara.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bwzWCGzB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan