Ahad, 19 Mac 2017

Chua selamatkan maruah negara


 

ARKIB : 19/01/2002
CHUA BOON HUAT (kanan) diserbu oleh rakannya, Maninderjit Singh, dan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor (9) sebaik sahaja menjaringkan gol kedua Malaysia ketika bertemu Jepun, di Bukit Jalil, semalam. Malaysia menang 2-1. - Gambar GAIE UCHEL.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
DUA gol yang dijaringkan oleh pemain pertahanan, Chua Boon Huat mengelakkan Malaysia daripada menanggung aib ketika menewaskan Jepun 2-1 pada hari pertama hoki Jemputan Enam Negara di Bukit Jalil, semalam.

Kedua-dua gol Malaysia diperoleh menerusi kepakaran Chua menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10 dan 62 sekali gus menyelamatkan maruah pasukan yang mempersembahkan aksi menggelabah sepanjang perlawanan di Stadium Hoki Nasional itu.

Ini kemenangan kedua berturut-turut pasukan negara ke atas Jepun dalam tempoh dua bulan. Kemenangan pertama dengan 2-0 dicatatkan pada Cabaran Juara-Juara juga di Bukit Jalil hujung tahun lepas.

Namun, kemenangan pertama itu yang dicatatkan dalam bulan puasa, nyaris gagal diulangi apabila Malaysia hanya mempersembahkan permainan tidak bertenaga.

Anak-anak buah Paul Lissek juga jelas beraksi tanpa koordinasi dan kurang berkomunikasi di dalam padang.

Selepas Chua menjaringkan gol pertama, barisan pertahanan negara pula yang terpaksa bekerja keras mengekang asakkan Jepun.

Hanya nasib dan kecekapan penjaga gol, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi apabila Jepun membuat asakan bertubi-tubi sambil dianugerahkan empat pukulan sudut penalti.

Jepun nyaris menyamakan kedudukan menerusi serang balas pada minit ke-34 - setelah Malaysia diberikan pukulan sudut penalti - tetapi pukulan Kenji Asai tersasar sedikit.

Namun, skuad negara Matahari Terbit itu menemui sasaran tiga minit selepas rehat menerusi Takahiko Yamabori setelah menerima hantaran lintang Naohiko Tobita yang mengutip bola hasil tolakan Nasihin daripada pukulan sudut penalti.

Gol penyamaan Jepun membangkitkan semangat skuad negara untuk menambah jaringan tetapi menyaksikan percubaan ketua pasukan, Mirnawan Nawawi, K. Logan Raj dan Tajol Rosli ditepis oleh penjaga gol Jepun, Jun Takahashi masing-masing pada minit ke-43, 54 dan 55.

Takahashi juga bertindak cemerlang menepis dua pukulan sudut penalti oleh M. Jiwa pada minit ke-56 dan Chua lima minit selepas itu.

Tetapi kekentalan penjaga gol itu runtuh akhirnya oleh tolakan kencang Chua pada minit ke-62.

Lissek, selepas perlawanan berkata, perlawanan itu mendedahkan kelemahan pemain muda terutama di barisan pertahanan negara yang begitu mudah gugup apabila diasak oleh lawan.

``Mereka hilang tumpuan dan lupa kepada sistem permainan sendiri kerana terlalu gugup apabila ditekan,'' kata jurulatih dari Jerman itu.

Katanya lagi, ketiadaan dua tonggak pertahanan, S. Kuhan dan Nor Azlan Bakar juga menyebabkan bahagian pertahanan tidak mempunyai peneraju untuk memimpin gerakan.

Kuhan tidak tersenarai untuk kejohanan ini akibat kecederaan hamstring manakala Nor Azlan terpaksa direhatkan hanya selepas beraksi kira-kira lima minit babak pertama, juga dikhuatiri akibat cedera hamstring.

Dalam perlawanan lain, pemenang tempat kedua Trofi Juara-Juara, Australia menepati ramalan apabila menundukkan New Zealand 4-2.

Michael McCann menjaringkan dua gol pertama Australia pada minit ke-22 dan pukulan sudut penalti minit 26.

New Zealand sempat memberikan saingan apabila menyamakan kedudukan menerusi Brett Leaver pada minit ke-42 dan Phillip Burrows minit 56.

Namun, Jamie Dwyer muncul wira skuad Kanggaru dengan dua gol pada minit ke-60 dan 70, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti dan jaringan padang.

Sementara itu, pertembungan yang dinanti-nanti antara juara dunia dan Olimpik, Belanda dengan Pakistan menyebelahi gergasi Asia dengan kemenangan 3-0.

Pakistan mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Kashif Jawad seawal minit ke-10 sebelum Saqlain Muhammad menambah pada minit ke-24.

Pakistan yang tewas kepada Belanda pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 pada Trofi Juara-Juara tahun lepas, menambah sengsara skuad Orange itu menerusi pakar sudut penalti, Sohail Abbas pada minit ke-63.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bqWj9ZkJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan