Sabtu, 18 Mac 2017

Cuma berkesudahan seri


 

ARKIB : 03/08/2001
PEMAIN negara, K. Gobinathan (dua dari kiri) berusaha keras menyekat asakan pemain India, Bimal Lakra yang terjatuh pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam. Malaysia dan India seri 2-2. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN.

Oleh SAADON JAAFAR
MALAYSIA bermula cemerlang sekali pun terpaksa berkongsi satu mata dengan India selepas mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad negara yang memberi tentangan terbaik mereka, mendahului permainan menerusi jaringan Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10.

India bagaimanapun cuba bangkit mencari gol penyamaan pada minit ke-31, tetapi percubaan berbahaya Deepak Thakur digagalkan oleh penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.

Begitupun, skuad lawan berjaya mencapai hasratnya apabila Dilip Tirkir merembat masuk bola pukulan sudut penalti pada minit ke-34 untuk kedudukan 1-1 sehingga tamat babak pertama.

Sebaik perlawanan bersambung, Malaysia terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu lawan, tetapi India bijak melakukan serangan balas pantas.

Pasukan lawan nyaris menghasilkan gol kedua, tetapi percubaan Dalgeet Singh Dillon pada minit ke-43 hasil hantaran Parminder Singh tersasar ke sebelah kanan gol Malaysia.

Skuad negara sekali lagi mendahului permainan selepas Maninderjit Singh menyumbat masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Namun tujuh minit sebelum perlawanan tamat, Daljeet Singh menafikan kemenangan Malaysia untuk kedudukan 2-2 selepas merembat masuk bola pukulan sudut penalti yang sebelum itu ditampan oleh Roslan.

Ketua jurulatih negara, Paul Lissek bagaimanapun secara keseluruhannya berpuas hati dengan aksi anak buahnya itu dan mengharapkan pertemuan kedua menentang England hari ini menghasilkan kemenangan.

``Saya berpuas hati dengan aksi para pemain dan saya harap kita dapat meraih kemenangan menentang England esok (hari ini).

``Persembahan mereka cukup meyakin dalam 25 minit pertama dan ketika mendahului 2-1. Cuma selepas itu mereka tampak gementar untuk memastikan kemenangan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhtKkMhU

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan