Khamis, 16 Mac 2017

Kalah lagi dan Malaysia di tangga terbawah



ARKIB : 14/03/2001
DHAKA, Bangladesh - Pengalaman sekali lagi memisahkan skuad muda negara daripada mencatat kemenangan pada kejohanan hoki Piala Emas Perdana Menteri Bangladesh, sebaliknya tewas buat kali kedua semalam.

Kesilapan penjaga gol negara, Saiful Azhar Mohd. dan pertahanan, Nor Azlan Bakar membaca gerakan lawan, membolehkan Ireland menang tipis 1-0 menerusi Justin Sherriff pada minit ke-16.

Kekalahan itu, yang meletakkan Malaysia pada kedudukan tercorot Kumpulan B turut menyempitkan peluang negara untuk melayakkan diri ke separuh akhir.

``Kita menunjukkan permainan yang baik hari ini, tetapi kesilapan yang berpunca daripada kurangnya pengalaman menyebabkan Malaysia terlepas kemenangan,'' kata pengurus pasukan, Ariffin Ghani.

``Kita patut boleh memenangi perlawanan ini selepas menerima tujuh pukulan penalti pendek pada babak pertama, tetapi kegagalan menyempurnakannya mensia-siakan peluang itu,'' katanya lagi.

Bagaimanapun Ghani berkata, ada peningkatan ditunjukkan pasukan negara berbanding ketika kalah 4-2 kepada Mesir pada perlawanan pembukaan, Ahad lalu.

Walaupun melepaskan gol yang tidak sepatutnya, Nor Saiful yang beraksi pada perlawanan senior antarabangsa pertamanya mempamer permainan mantap selepas separuh masa kedua.

Turut mendapat kepercayaan jurulatih, Yahya Atan untuk memperoleh cap antarabangsa pertama adalah pemain tengah, P. Prabahkaran.

Menurut Ghani, kekalahan bukan sesuatu yang amat mengecewakan kerana matlamat asal pasukan negara adalah menimba sebanyak mungkin pengalaman.

``Sebab itu kita mencuba pelbagai gandingan hari ini, termasuk meletakkan Nor Hanafi (Omar) di bahagian tengah, Jiwa Mohan dan S. Kuhan di bek kanan.

``Pemain termuda dalam skuad, Fairuz Hamsani adalah satu-satunya pemain yang belum diturunkan dan kita mungkin memberi peluang kepadanya dalam pertemuan dengan China.''

Sementara itu dalam perlawanan lain, Pakistan mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan B dengan menundukkan Mesir 4-1.

India pula terus menerajui Kumpulan A selepas mencatat kemenangan kedua menumpaskan Jepun 3-1.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bUIhbljv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan