Isnin, 20 Mac 2017

Kita gagal sekat Pakistan


 

ARKIB : 21/01/2002
DUA pemain Malaysia, Chua Boon Huat (kiri) dan K. Keevan Raj cuba merampas bola daripada kawalan pemain Pakistan, Shabbir Muhammad pada saingan Jemputan Enam Negara di Bukit Jalil, semalam. Pakistan menang 4-1. - Gambar IZHAM JAAFAR.

PAKISTAN mencatatkan kemenangan kali kedua berturut-turut dengan menundukkan Malaysia 4-1 pada Kejohanan Hoki Enam Negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kemenangan itu meletakkan Pakistan di tangga teratas kedudukan setakat ini - berkongsi mata dengan Australia - dan terus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Malaysia sejak Sukan Asia 1986.

Sementara itu, bagi Malaysia, kekalahan itu meletakkannya di tangga ketiga bersama-sama New Zealand, pasukan yang akan ditemui hari ini, tetapi dipisahkan oleh jumlah perbezaan gol.

Malaysia, yang menundukkan Jepun 2-1 dalam perlawanan sulungnya, mempersembahkan saingan terpuji pada babak awal dan hanya dibolosi sekali, tetapi terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan yang jelas begitu bersemangat hasil kemenangan 3-0 ke atas Belanda Jumaat lepas.

Pada separuh pertama, pelawat sukar untuk menembusi empat pertahanan Malaysia, Maninderjit Singh, Chua Boon Huat, K. Gobinathan dan Mohd. Madzli Mohd. Nor yang begitu tersusun untuk membentuk benteng ampuh sambil Roslan Jamaluddin tangkas menampan setiap percubaan ke arah gawangnya.

Jaringan pembakar semangat Pakistan hanya muncul pada minit ke-29 menerusi helah ketika mengambil pukulan sudut penalti kedua yang disempurnakan oleh Saqlain Muhammad.

Pakistan menemui sasaran buat kali kedua yang berpunca daripada kelewatan Roslan bertindak mengeluarkan bola selepas menampan pukulan Usman Muhammad. Bola yang menggolek di depan pintu gol pantas dirembat oleh Shahbaz Ahmed untuk gol pertamanya sejak kembali daripada bersara pada 1998.

Mohamed Tajol Rosli menyuntik semula semangat Malaysia menerusi jaringan cantik pada minit ke-62, setelah merebahkan badan untuk menguis masuk hantaran Maninderjit.

Namun, permainan bersemangat anak buah Pual Lissek dimusnahkan oleh dua gol dalam masa empat minit terakhir yang sebenarnya berpunca daripada kesilapan skuad negara sendiri.

Penyerang lincah Pakistan, Kashif Jawad menewaskan tiga pertahanan negara sebelum menggelecek Roslan untuk menolak masuk gol ketiga pasukannya pada minit ke-66 sebelum pemukul terbaik dunia, Sohail Abbas menyempurnakan pukulan sudut penalti seminit sebelum permainan tamat.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bqptMdFV

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan