Selasa, 21 Mac 2017

Kita layak rebut tangga ke-7



ARKIB : 08/03/2002
 
Pemain-pemain Malaysia, sugul selepas tewas 2-1 kepada Pakistan pada Kejohanan Hoki Lelaki Piala Dunia 2002 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

CORAK serangan berhati-hati dan kelekaan jentera pertahanan membawa padah apabila Malaysia tumpas 2-1 kepada Pakistan dalam perebutan tempat ke-5/8 pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2002 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Keputusan itu sekadar menjanjikan saingan ke-7/8 buat anak buah Paul Lissek yang turun ke padang seolah-olah sudah cukup berpuas hati selepas mencapai matlamat lapan tempat teratas keseluruhan dalam saingan edisi ke-10 itu.

Malaysia yang kembali dengan gaya permainan lama, juga tampak terikut-ikut dengan aksi Pakistan yang tidak mengamalkan aksi pantas seperti kebiasaannya dan dihukum seawal minit ke-19 apabila Sohail Abbas merembat masuk bola pukulan sudut penalti.

Skuad negara memberikan sedikit tentangan, namun tiga pukulan sudut penalti berturut-turut tidak membuahkan hasil pada mnit ke-25, malah Kashif Jawab pula yang mencemaskan benteng negara seminit kemudian. Mujurkan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dapat menyelamatkan gawangnya.

Roslan sekali lagi terpaksa bekerja keras akibat kealpaan pertahanan negara pada minit ke-34 apabila menyelamatkan percubaan bahawa, juga menerusi Kashif untuk kedudukan 1-0 pada babak pertama.

Pada babak kedua, Pakistan terus melancarkan `serangan perlahannya' yang tampak dibiarkan sahaja oleh barisan depan pertahanan negara, sekali gus menyaksikan pemain veteran, Shahbaz Ahmed melorongkan bola untuk disempurnakan Kashif, tetapi Nor Azlan Bakar berjaya mematahkan serangan itu pada minit ke-44.

Roslan juga terpaksa bertungkus lumus menyelamatkan percubaan bahaya oleh Kashif yang menerima hantaran Mudassar Khan pada minit ke-47, sebelum Dilawar Hussein melakukan hantaran yang gagal ditampan kemas oleh Shaiful Azli Abdul Rahman.

Shahbaz, pemain yang paling berpengalaman dalam skuad Pakistan mudah memperdayakan Shaiful untuk merampas bola dan tidak teragak-agak melakukan pukulan untuk menumpaskan Roslan buat kali kedua pada minit ke-54.

Jaringan saguhati menerusi pukulan sudut penalti oleh penyerang, Tajol Rosli Mohamed hasil kuisan S. Kuhan empat minit kemudian sudah terlewat buat Malaysia mengubah keputusan perlawanan ini. Kekalahan 2-1 itu yang menyamai catatan pada perlawanan persahabatan kedua-dua pasukan pada 15 Januari lalu, kini memberi satu lagi peluang kepada anak buah Lissek memburu tempat ketujuh atau terus berpuas hati di tangga kelapan.

Malaysia kini akan berdepan sekali dengan England yang tumpas 2-1 kepada Argentina untuk penentuan tujuh dan lapan, manakala Pakistan dan Argentina bagi pemburuan tempat kelima.

Dalam perlawanan semalam Argentina memerlukan jaringan emas menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Jorge Lombi pada minit ke-79 untuk mengetepikan cabaran England selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1

Argentina bermula garang dengan mendahului menerusi pukulan sudut penalti Lombi pada minit ke-29, tetapi England yang meng-gadakan asakan pada babak kedua menyamakan kedudukan hasil rembatan Danny Hall, minit 48.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bxeNpJ00© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan