Sabtu, 18 Mac 2017

Kita tempah laluan sukar

ARKIB : 04/08/2001
Oleh Saadon Jaafar
MALAYSIA terus menemui jalan buntu dalam memburu kemenangan selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan England pada perlawanan keduanya pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Selepas mengikat keputusan 2-2 dengan India kelmarin, skuad negara lebih banyak bertahan pada babak pertama ketika berdepan England.

Pasukan lawan banyak mencipta peluang dengan percubaan bahaya, termasuk serangan balas yang dilancarkan oleh gandingan Dave Mathews dan Chris Grahanm pada minit ke-22.

Tiga minit kemudian, Mathews sekali lagi mencemaskan pertahanan Malaysia, tetapi rembatannya tersasar ke sebelah kiri gol negara, sebelum giliran Mark Pearn menguji benteng negara pada minit ke-29.

Skuad negara cuba bangkit mencari jaringan, tetapi hantaran silang Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor pada minit ke-36 gagal disempurnakan oleh Shaiful Azli Abdul Rahman.

Mengulas keputusan seri 0-0 itu, ketua jurulatih negara, Paul Lissek agak berang dengan persembahan hambar barisan negara, khususnya di babak pertama.

``Banyak berlaku salah faham antara pemain di babak pertama, menyebabkan mereka lebih tertumpu kepada bertahan. Mereka memberi aksi yang baik selepas perlawanan disambung semula.

``Saya pasti merangka strategi baru menentang Korea Selatan kerana mereka memiliki tahap kecergasan tinggi. Tugas mencari kemenangan bukan mudah buat para pemain,'' jelasnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bhufxBS1

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan