Ahad, 19 Mac 2017

Lissek berang Chua, barisan serangan tidak ikut arahan

ARKIB : 15/10/2001
HOBART - Ketua jurulatih negara, Paul Lissek ternyata berang dengan aksi ketua pasukan, Chua Boon Huat serta barisan penyerang muda negara yang gagal mematuhi arahan ketika seri 1-1 dengan Scotland pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja di Hobart semalam.

Menurut Lissek, sebelum turun menentang Scotland, beliau bersama pegawai dan para pemain negara sudah menonton video memaparkan aksi Scotland pada beberapa perlawanan lain dan merancang taktik terbaik untuk memastikan kemenangan, tetapi ia tidak diamalkan.

``Kami menonton bersama dan pemain menyatakan kesediaan untuk mengikut arahan agar melakukukan serangan dari sebelah kanan gol lawan, tetapi hari ini (semalam) mereka lebih banyak menumpukan bahagian kiri.

``Selepas mendahului satu gol, saya dapati Chua bertindak naik ke atas untuk memburu jaringan dan meninggalkan para pemain kurang berpengalaman di barisan pertahanan.

``Itulah silapnya kita, tidak mematuhi arahan dan saya cukup geram dengan aksi mereka di padang. Saya rasa macam nak bunuh Chua,'' kata Lissek berang.

Lissek yang berada di Hobart sejak dua hari lalu juga berkata, Scotland seharusnya boleh dikalahkan dengan jaringan 1-0 ataupun 2-1, tetapi keputusan seri pastinya menyukarkan sedikit tugas Malaysia memburu kedudukan terbaik.

``Selepas mendahului 1-0, kita sewajarnya memperkemaskan lagi jentera serangan dan bukan membiarkan lawan bangkit untuk mencari peluang daripada pertahanan longgar.

``Apabila kedudukan sudah 1-1, penyerang kita patut meneruskan asakan di sebelah kanan, tetapi mereka terus juga melakukan usaha di bahagian kiri.

``Sebaik tamat perlawanan, saya beritahu pemain nasib baik kita tak kalah dan mereka hanya terpingga-pingga mendengarnya. Ini menunjukkan mereka hanya mampu menyimpan kata-kata saya dalam otak tetapi gagal mengamalkannya,'' tegas Lissek.

Menyentuh peluang Malaysia dalam pemburuan tempat kesembilan, beliau berkata, harapan tetap cerah dan para pemain perlu memberikan aksi terbaik untuk keputusan cemerlang dalam dua lagi perlawanan kumpulan H.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bleyPb4E

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan